Written by 6:04 pm Bola Sepak, Malaysia

Jenama Makanan FAS Fast Food Akan Diperkenalkan

Nota: Gambar sekadar hiasan.

Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) serius untuk mempelbagaikan sumber pendapatannya bagi memastikan kelangsungan kewangan pasukan berpangkalan di Lembah Klang tersebut.

Antaranya menjana pendapatan menerusi pembukaan pusat rehabilitasi dan klinik di FAS Training Centre kepada para peminat dan orang awam selain digunakan oleh para pemain dan jurulatih. 

Namun satu lagi usaha yang akan dimulakan oleh Red Giants pada tahun ini adalah memperkenalkan jenama makanannya yang tersendiri, demikian perkongsian daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Burger stadium antara menu popular semasa menonton perlawanan bola sepak di Malaysia.

“Kita akan memulakan jenama makanan sendiri yang dipanggil FAS Fast Food. Ini (dijual) semasa hari perlawanan. 

“Tetapi usaha ini bergantung kepada (samada) kami dapat membawa penyokong kembali ke stadium atau tidak.” katanya ketika ditemui Sukanz di FAS Training Centre.

Belum ada sebarang makluman mengenai menu yang bakal dijual di bawah jenama tersebut namun dijangka ianya makanan yang menjadi kebiasaan untuk dijual pada hari perlawanan di stadium seperti burger, kentang goreng dan sosej.

Foto: Selangor FC

Selain daripada menjana pendapatan melalui dua sumber baharu ini, usaha-usaha untuk menambahkan pendapatan yang telah dijalankan sebelum daripada ini tetap diteruskan seperti penjualan jersi dan cenderamata kepada para peminat dan akademi bola sepak.

“Ada sedikit pendapatan diraih kita (menerusi akademi bola sepak) dan sudah semestinya jualan jersi dan merchandise akan diteruskan.” jelasnya lagi.

Meneruskan Program Local Giants Yang Telah Menyumbang RM700,000

Sementara itu, juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu juga mahu meneruskan program Local Giants – sebuah program yang membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan untuk menaja pasukan Selangor.

Difahamkan program yang diilhamkan oleh DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah tersebut telah berjaya menambahkan pendapatan kepada pasukan sebanyak RM700,000 hasil tajaan daripada 45 buah entiti SME.

“(Bagaimanapun) tahun 2021 ini agak mencabar (kerana) kita sedia maklum pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang teruk kepada SME sehingga terpaksa menutup syarikat dan sebagainya.”

“(Jadi) untuk tahun ini jika kita dapat mengekalkan jumlah tajaan (Local Giants) seperti tahun lepas sudah menjadi satu pencapaian baik. Kita memahami (kesukaran yang SME hadapi) tetapi (pihak) kami masih ingin meneruskan program ini.” katanya lagi.

Dr. Johan turut menjelaskan pihak SME yang terlibat dengan program Local Giants ini akan mendapat pelbagai manfaat dan kelebihan untuk perniagaan masing-masing.

Bagi kalangan SME yang terlibat, mereka berpeluang untuk hadir dalam program business networking antara sesama pendiri SME, mendapat pelepasan cukai, terlibat dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan mendapat branding exposure kepada para penyokong Selangor FC.

Tambahnya lagi, barisan pengurusan Selangor FC sememangnya sedang berusah gigih melakukan pelbagai perkara di belakang tabir untuk menjana pendapatan untuk kelangsungan pasukan.

Menutup bicara bersama Sukanz, Dr. Johan sempat berkata sambil ketawa kecil, “Nanti bila dah sedia kami akan bagitahu.”

(Visited 663 times, 1 visits today)
Close