Artikel

Kedah Mempunyai ‘Fan Base’ Besar, Peluang Lebarkan Sayap Perniagaan – Ahmad Shaizuan

Pada rabu lalu, Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Noor mengumumkan sedia melepaskan saham Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) yang dimiliki oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) kepada dua buah syarikat.

Dimaklumkan dua syarikat tersebut ialah Flumen Holdings dan Go Auto Group. Dilaporkan kedua-duanya bakal bergabung dan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bagi membeli dan memegang 80% saham tersebut dalam masa terdekat.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Flumen Holdings, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman berkata, keputusan ahli lembaga pengarah daripada kedua-dua syarikat untuk memiliki saham tersebut bukanlah atas faktor minat dan fanatik terhadap skuad Hijau Kuning semata-mata.

Walaupun dirinya sendiri merupakan penyokong tegar pasukan Kedah sejak tahun 1980-an lagi, pihak mereka telah membuat penilaian dan pertimbangan berdasarkan pelbagai faktor sebelum bersependapat membuat keputusan untuk melabur bagi memiliki saham pasukan KDA FC.

Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman

“(Antaranya) pasukan Kedah merupakan sebuah pasukan yang mempunyai fan base yang besar. Dari (segi) bisnes itu sendiri memang kita berminat lebih-lebih lagi kami (khususnya Go Auto Group) terlibat dalam bidang automotif.

“Ini merupakan sebuah pelaburan daripada sebuah syarikat yang melihat satu peluang perniagaan untuk melebarkan sayap kami.” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz, semalam.

Tambahnya lagi, kolaborasi di antara kedua-dua syarikat ini bukanlah sesuatu yang baharu termasuk idea untuk mengambil alih pasukan bola sepak Kedah.

Bola Sepak Harus Dipegang Pihak Swasta, Ringankan Beban Kerajaan Negeri

Perkembangan baharu bola sepak tanah air telah menuntut setiap pasukan untuk menjalani proses penswastaan bagi memenuhi tuntutan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Shaizuan melihat ini merupakan peluang besar buatnya selaku anak jati kelahiran Jitra, Kedah dan ahli perniagaan untuk menyumbang kepada kemajuan bola sepak dan negerinya sendiri.

Pada masa yang sama, beliau berpendapat, sesebuah pasukan bola sepak pada masa kini perlu dimiliki dan diuruskan oleh entiti swasta sekaligus dapat meringankan beban kewangan kerajaan negeri.

Kenyataan Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Noor terhadap pemilihan Flumen Holdings dan Go Auto Groups.

“Di atas dasar itu kami datang (untuk beli pegangan saham) disamping kita dapat memberi tambah nilai yang lebih baik (kepada pasukan). Contohnya, apabila pihak syarikat (swasta) mengambil alih, kita tidak mahu lagi timbul isu-isu seperti gaji yang tidak dibayar (dan sebagainya).

“Kita berpendapat pihak pemerintah (perlu menumpukan perhatian yang) lebih penting (kepada) menjaga kepentingan rakyat negeri kerana mereka dilantik untuk menjaga kepentingan rakyat.

“Sekarang ini bukan masanya lagi untuk kerajaan negeri menyelesaikan masalah bola sepak. Ini adalah masanya untuk bola sepak menyelesaikan masalah negeri.” terangnya lagi.

Wakil daripada kedua-dua syarikat yang diketuai oleh Shaizuan sendiri telah memberikan pembentangan pengambilalihan pasukan KDA FC dalam satu mesyuarat exco di Jitra, rabu lalu. 

Dalam pembentangan itu juga, pihak mereka turut membentangkan perancangan untuk menjana pelaburan langsung ke negeri Kedah dengan jumlah yang dianggarkan sebanyak RM1.5 billion.

Proses mengambil alih saham KDA FC oleh kedua-dua syarikat ini masih belum muktamad namun Shaizuan berkeyakinan ianya dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Antara kenderaan yang dibuat dan dipasang oleh Go Auto Group.

Untuk makluman, Flumen Holdings merupakan sebuah syarikat yang mempunyai lima buah syarikat subsidiari iaitu Flumen Technologies, Flumen Resources, Flumen Tronics, Flumen Energy dan Flumen Marine.

Selain itu, syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur ini turut mempunyai pelaburan dalam entiti perniagaan melibatkan produk kecantikan Mea Elegance Sdn Bhd, firma setiausaha syarikat CSQ Corporate Services dan sebuah institusi kewangan di Bangladesh.

Sementara itu, Go Auto Group pula sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2013 yang memfokuskan kepada teras perniagaan dalam sektor automotif. Antara aktiviti-aktiviti perniagaan mereka adalah pengilangan, pemasangan kenderaan, penjualan dan pengedaran, servis selepas penjualan dan jualan alat ganti.

komen