Written by 2:05 pm Bola Sepak, Malaysia

CEO Terus Bekerja Berdasarkan Pelan Strategik Untuk Memajukan Bola Sepak Terengganu

Ab Rasid Jusoh yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC sekitar oktober tahun lalu turut maklum mengenai usaha sesetengah pihak untuk memecatnya seperti yang telah kecoh di media sosial, baru-baru ini.

Bagaimanapun Ab Rasid yang mempunyai latar belakang Ijazah Sarjana Pengurusan (Sukan) tidak ambil pusing mengenai perkara tersebut. Tumpuan penuhnya pada masa ini dicurahkan untuk memajukan pasukan Terengganu FC dan bola sepak negeri Terengganu berdasarkan pelan yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah TFC Sdn. Bhd.

“Saya juga mendapat makluman (usaha pemecatan) daripada media sosial, tetapi saya terus bekerja dengan pelan strategik yang telah dibuat.” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz.

Untuk makluman, sejak dilantik sebagai CEO, dimaklumkan beliau telah merangka satu pelan strategik bagi tempoh lima tahun untuk meningkatkan kualiti teknikal, pengurusan dan nilai komersil Terengganu FC.

Difahamkan pelan strategik yang dibuat turut mengambil beberapa contoh daripada penglibatannya dalam sebuah pasukan bola sepak berpangkalan di bandar Kuala Terengganu iaitu T-Team FC dari tahun 2006 hingga 2016.

Menurutnya lagi, pelan strategik tersebut dikeluarkan selepas diadakan bengkel bersama pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), rakan kerjasama daripada institusi pengajian tinggi, Universiti Sultan Zainal Abidin, (UniSZA) dan agensi-agensi yang berkaitan dengan sukan bola sepak, penghujung tahun lalu.

“Saya akan terus bekerja berdasarkan kepada kepercayaan yang telah diberikan kepada saya dan semata-mata untuk memajukan bola sepak negeri Terengganu hasil daripada bengkel-bengkel yang dibuat sebelum ini dan turut dihadiri oleh persatuan (PBSNT).” tambahnya lagi.

Justeru tidak timbul isu seperti yang dicanang di media sosial yang mengatakan beliau lebih sudu daripada kuah, bekerja terlalu laju, tidak boleh bekerjasama dan sebagainya.

Perkembangan terbaharu pada awal tahun ini menyaksikan Ab Rasid telah mengemudi Terengganu FC menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) kerjasama bersama institusi pengajian tinggi, UniSZA.

Sebagai tambahan, beliau turut dimaklumkan mengadakan pertemuan bersama pengurusan Terengganu Incorporated bagi membincangkan kerjasama yang boleh dilakukan oleh kedua-dua pihak, semalam.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 217 times, 1 visits today)
Close