Written by 7:15 pm Bola Sepak, Malaysia

Ini Perkara Yang Akan Dilakukan Stanley Untuk Tarik Lebih Ramai Penyokong KL United

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur United (KL United), Stanley Bernard menyedari betapa kecilnya kelompok penyokong skuad ibu kota dan menjadi salah satu agendanya untuk membesarkan lagi kelompok tersebut, pada tahun ini.

Dimaklumkan ketika ditemui Sukanz, setelah dilantik untuk menerajui KL United pada penghujung tahun lalu, antara perkara pertama yang dilakukannya adalah melihat data penyokong pasukan Kuala Lumpur.

“Perkara pertama yang saya mahu buat adalah memahami penyokong, semasa saya masuk (sebagai CEO) saya menanyakan mengenai data penyokong yang ada,

“Mungkin dalam (lingkungan) 50 hingga 100 orang, saya nak mengetahui apakah yang (membuatkan mereka) masih ke stadium sedangkan yang lain-lain tidak mahu datang.” kata Stanley.

Stanley Bernard ketika menjadi pengulas Liga Malaysia – Foto: MFL

Sebagai permulaan, Stanley yang juga merupakan bekas pemain dan pengulas Liga Malaysia mahu menghargai kelompok kecil penyokong sedia ada ini dengan menulis surat penghargaan dan merakamkan ucapan terima kasih kerana menyokong pasukan ini.

Itu menjadi titik permulaan kepada engagement lain yang akan dilakukan KL United. Antara perancangan lain Stanley adalah mengadakan perjumpaan dan mengadakan sesi penglibatan penyokong bersama kelab.

“Saya merasakan engagement sangat penting dan (ianya) boleh datang daripada dua atau tiga cara, salah satunya kita boleh berbincang bersama mereka tentang apa yang boleh kita lakukan untuk menaikkan minat.

“Saya nak naikkan cinta (mereka) terhadap (pasukan) Kuala Lumpur, untuk melakukannya saya perlu memahami mereka, berjumpa dengan mereka dan bercakap dengan mereka, kelab perlu berjumpa mereka dan pemain perlu berjumpa mereka.

Tambahnya lagi, ramai kalangan kelompok penyokong pasukan Kuala Lumpur mengetahui sejarah kehebatan skuad ibu kota suatu masa dahulu seperti memenangi kejohanan Piala Malaysia tiga kali berturut-turut iaitu pada tahun 1987 hingga 1989.

Malahan skuad ibu kota pernah ditunjangi dengan nama-nama besar yang terkenal seperti Fandi Ahmad, K. Kannan, Shebby Singh, Mat Zan Mat Aris, Subardon Aziz dan lain-lain lagi yang sepatutnya boleh dijadikan sebagai ikon kelab sepertimana dilakukan oleh kelab-kelab eropah.

“Kita mengetahui segala sejarah tetapi tiada connectivity,”

“Saya nak bina satu jambatan sebagai contoh sebelum daripada sepak mula perlawanan, berikan (peluang) penyokong untuk memilih siapaka pemain yang patut kita panggil sebagai guest of honour (tetamu kehormat), mungkin Safee Sali bagi dia souvenir dan jadikan dia sebagai club ambassador.”

Bagaimanapun, Stanley berkata kerja-kerja ini memerlukan sebuah pasukan yang mantap bagi menyelami para penyokong sekaligus membawa mereka kembali menyokong pasukan Kuala Lumpur.

Sementara itu, antara perancangan lain yang turut disentuh dan menjadi keutamaan Stanley sebagai CEO KL United pada tahun ini adalah meningkatkan imej pasukan di dalam dan luar padang.

Ianya diharapkan supaya dapat menarik minat pihak korporat yang begitu banyak bertapak di Kuala Lumpur untuk bekerjasama bersama pasukan sekaligus dapat memberikan kelangsungan kewangan kepada KL United.

Featured Image: Kuala Lumpur Hawks

(Visited 338 times, 1 visits today)
Close