Written by 7:24 pm Bola Sepak, Malaysia

Tangguh Sesi Latihan, Momentum Terengganu FC Terjejas..

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain meluahkan kekecewaan apabila terpaksa menangguhkan sesi latihan pasukannya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir seluruh pelusuk tanah air, bermula hari ini.

Menurut pengendali berusia 42 tahun itu, Terengganu FC yang memulakan sesi latihan pertamanya pada 14 disember lalu telah mendapatkan keserasian yang baik di antara pemain lama dan pemain baharu.

Bagaimanapun dengan situasi semasa yang menuntut pasukannya untuk akur dengan penangguhan tersebut, momentum yang telah diraih oleh skuadnya hilang dan perlu diraih kembali daripada fasa awal apabila dibenarkan menyambung sesi latihan kelak.

Foto: Terengganu FC

“Kita telah berlatih hampir sebulan dengan keserasian mula terbentuk antara pemain baharu dan pemain lama, tiba-tiba perlu berhenti (disebabkan PKPB), 

“Ia menjejaskan perancangan dan momentum pasukan, selepas daripada rehat ini kita perlu bermula kembali (daripada fasa awal).” katanya ketika dihubungi Sukanz pada petang tadi.

Pada masa yang sama, Nafuzi amat mengharapkan sesi latihan pasukannya dibenarkan bersambung secepat yang mungkin memandangkan negeri Terengganu hanya dikenakan PKPB sahaja.

“Sebelum ini kita telah berlatih (dalam situasi PKPB) mengikut SOP yang ditetapkan.” tambahnya lagi.

Untuk makluman, setakat sebulan sesi latihan yang dijalankan, Nafuzi telah menumpukan perhatian kepada beberapa aspek seperti meningkatkan kecergasan, persefahaman serta membentuk keserasian dalam kombinasi pemain.

Antara lain yang dilakukannya adalah menyediakan pasukan untuk menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan yang diatur sebelum sepak mula Liga Super 2021 yang dijadualkan pada penghujung februari kelak.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 34 times, 2 visits today)
Close