Written by 8:17 pm Bola Sepak, Malaysia

Kenali Alex Gonçalves Peledak Yang Dikaitkan Dengan Penghijrahan Ke Liga Malaysia

Tatkala berstatus sebagai pemain ejen bebas, bekas penyerang Persikabo 1973, Alex dos Santos Goncalves semakin kuat dikaitkan dengan penghijrahan ke saingan liga tempatan yang akan bermula pada penghujung februari kelak.

Alex yang merupakan penyerang kelahiran Brazil pernah menggegar saingan liga negara jiran tetangga apabila meledak sejumlah 17 gol hasil daripada 29 penampilan bersama Persela Lamongan pada musim 2019.

Statistik itu meletakkan Alex sebagai peledak ketiga yang digeruni dalam kancah Liga 1 Indonesia. Hanya dua penyerang berada di posisi lebih baik daripadanya iaitu Marko Simic, merekodkan 28 gol dan Alberto Goncalves, menjaringkan 18 gol pada musim tersebut.

Antara pasukan yang kuat dikaitkan dengan penyerang yang memiliki ketinggian sekitar 1.8 meter ini ialah Melaka United FC.

Bercakap mengenai gaya permainannya, pemain yang dilahirkan di Texeira de Freitas ini merupakan seorang penyerang yang gemar melakukan roaming, berani menggelecek di kawasan lawan sebelum melakukan rembatan untuk merobek gawang lawan.

“Alex merupakan penyerang yang mobiliti, gemar melakukan pelbagai gerakan di atas padang dan mempunyai (kemahiran) teknikal yang baik.

“(Hal ini kerana) Liga Indonesia lebih (menjurus) ke arah fizikal yang memerlukan lebih larian dan pertarungan fizikal berbanding liga lain di asean.” kata pemerhati bola sepak Indonesia. Aun Rahman.

Selain daripada itu, Alex juga mempunyai kemahiran yang baik dalam melakukan perebutan bola di udara dan perkara ini dapat disaksikan menerusi beberapa jaringan yang dilakukannya menerusi tandukan di dalam kotak penalti.

Menerusi kemampuan yang dimiliki oleh Alex, pasukan yang bakal mendapatkan khidmatnya bakal meraih kelebihan ketika melakukan serangan balas pantas serta ketika memainkannya dengan tugas sebagai target-man.

Dengan kelebihan ketinggiannya pula, pasukannya boleh memanfaatkan kehadirannya ketika situasi bola mati seperti semasa dihadiahkan sepakan percuma dan sepakan penjuru.

Bagaimanapun, kemampuan yang dimilikinya serta statistik yang di bawa daripada saingan Liga Indonesia bukan menjadi tiket automatik untuk Alex terus ‘menjadi’ dalam saingan liga tempatan.

Kita sedia maklum terdapat perbezaan besar di antara corak permainan liga negara jiran tetangga dan Liga Malaysia. Selain itu, ia bergantung juga kepada kemampuannya untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan.

Antara perkara lain yang tidak boleh dikesampingkan adalah bagaimana ketua jurulatih mahu mengadunkan kemampuan dan kebolehan yang dimiliki oleh Alex bersama-sama 10 lagi pemain di dalam pasukannya. 

Sebagai contoh, dapat dilihat penyerang seperti Sylvano Comvalius yang cukup digeruni di sana tidak dapat menunjukkan belangnya bersama Kuala Lumpur pada tahun 2019.

Seorang lagi penyerang yang boleh dijadikan contoh adalah Ferdinand Sinaga yang cukup cemerlang bersama PSM Makassar tetapi tidak memberikan impak yang besar ketika beraksi bersama pasukan Kelantan pada musim 2018.

Adakah benar Alex dos Santos Goncalves ini bakal hadir dalam saingan Liga Malaysia? Sama-sama kita nantikan.

Featured Image: Liga 1 Indonesia

(Visited 460 times, 1 visits today)
Close