Written by 9:10 pm Bola Sepak, Malaysia

Raja Permin Rancang Naik Taraf Fasiliti Asas Selepas Mendapat Milikan Padang

Kelab amatur berpangkalan di Chendering, Kuala Terengganu iaitu Raja Permin FC sudah merancang untuk melakukan beberapa naik taraf fasiliti asas setelah mendapat pemilikan untuk menguruskan sebuah padang kelak.

Difahamkan, padang yang sedang mereka usahakan pemilikannya ini terletak di antara sempadan Kampung Raja dan Taman Permin Jaya telah menjadi home dan tempat latihan buat pasukan Raja Permin sejak ia ditubuhkan oleh Allahyarham Syed Mustafa Tuan Kuning pada tahun 1995.

Beberapa siri perbincangan di antara pengurusan kelab bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan pemilikan untuk menguruskan padang yang turut dikenali sebagai Raja Permin Arena sudah memasuki peringkat akhir.

Padang yang sedang diusahakan pemilikan oleh Raja Permin FC pernah ‘mati’ seketika sebelum mula dipulihkan oleh pihak pengurusan dan penduduk setempat pada penghujung tahun 2015.
Raja Permin Arena dari lensa yang diterbangkan oleh drone.

“Tujuan (mendapatkan) pemilikan ini bukan sahaja untuk membantu menjana pendapatan kepada kelab malah merancakkan ekosistem bola sepak di sekitar Kuala Terengganu terutama Chendering.” kata Timbalan Presiden, Mohd Dez kepada Sukanz.

Beliau berpendapat, penting untuk sesebuah kelab amatur untuk memiliki sebuah padang tersendiri agar menjadi pusat komuniti buat peminat kelab dan penduduk sekitar disamping dapat menjana kewangan kepada pasukan menerusi aktiviti-aktiviti perniagaan.

Turut dimaklumkan, sebuah syarikat akan didaftarkan untuk menguruskan Raja Permin Arena dan perniagaan-perniagaan milik pasukan yang digelar The Rossonerri ini. Syarikat ini juga, bakal membuka ruang perniagaan kepada bekas pemain-pemain termasuk mendirikan sebuah kedai barangan sukan rasmi Raja Permin.

“Beberapa fasiliti seperti tandas, surau dan bangku simpanan turut akan diperbaiki bagi memastikan keselasaan buat pasukan yang mengunjung ke padang ini.” jelasnya ketika ditanyakan mengenai perancangan terdekat selepas mendapat milikan pengurusan padang tersebut.

Manakala untuk perancangan jangka masa panjang, pihak pengurusan sedang dalam perancangan untuk menaiktaraf beberapa fasiliti seperti tempat duduk penonton, bilik persalinan, bangku pemain dan ruang VIP sekiranya mendapat kelulusan daripada PBT.

Gambaran Raja Permin Arena yang lengkap dengan tempat duduk penonton dan sebagainya.

Melahirkan Dua Pemain Bola Sepak Buat Terengganu FA

Siapa sangka pasukan berstatus amatur yang hanya mengambil bahagian dalam kejuaraan dan pertandingan peringkat amatur di kawasan setempat seperti Piala Musba dan Piala Liga Divisyen 2 Terengganu berjaya mengeluarkan produk untuk pasukan profesional, Terengganu FA.

Dua pemain tersebut ialah Md. Mazuki Yusof (1995) dan Mohd. Shahrul Ezrain Samsuddin (1997). Kedua-dua pemain ini memulakan karier bola sepak bersama Raja Permin sebelum bermain bersama pasukan Terengganu FA. Selain daripada dua pemain ini, terdapat beberapa lagi produk Raja Permin yang berjaya menembusi skuad Piala Presiden Terengganu FA.

Md. Mazuki Yusof
Mohd. Shahrul Ezrain Samsuddin

Raja Permin Suram Seketika Sebelum Dihidupkan Kembali

Untuk pengetahuan semua, pasukan Raja Permin pernah suram seketika selepas pengasasnya meninggal dunia. Bagaimanapun, pada tahun 2016, bekas pemain-pemain Raja Permin membuat keputusan untuk menghidupkan dan menjenamakan semula pasukan ini.

Setelah dihidupkan kembali, Raja Permin giat menyertai beberapa pertandingan dan kejohanan yang dianjurkan di kawasan setempat. 

Pada tahun 2018, mereka membuat keputusan untuk menyertai liga amatur iaitu Terengganu Amateur League (TAL). Pencapaian terbaik mereka setakat ini adalah terpilih untuk menyertai saingan Shopee Piala FA 2019 peringkat kelayakan bertemu Klasiko FC.

Untuk tahun 2021, Raja Permin masih lagi meneruskan penyertaan bola sepak mereka di divisyen empat (M4) dalam sistem piramid bola sepak tempatan bersama TAL.

Antara kejayaan manis pasukan ini adalah dinobatkan sebagai Best Media Team dua tahun berturut-turut iaitu tahun 2018 dan 2019 oleh TAL.

Paling tidak dapat dilupakan, Raja Permin FC pernah dipilih sebagai #TwitterCrush dan Team of The Day oleh gergasi bola sepak Itali, AS Roma menerusi laman media sosial mereka pada tahun 2018 dan 2019 menerusi akaun laman sosial mereka.

(Visited 561 times, 1 visits today)
Close