Artikel

Yakult Malaysia Taja Terengganu FC Sebanyak RM380,0000

Syarikat minuman probiotik, Yakult Malaysia Sdn Bhd dilaporkan bersetuju untuk menaja Kelab Bola Sepak Terengganu (Terengganu FC) dengan nilai sebanyak RM380,000.

Penajaan itu diumumkan dalam satu majlis tandatangan kerjasama di antara Yakult yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada dan Terengganu FC pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh yang berlangsung di Pejabat Pengurusan TFC, pada hari ini.

Selain daripada tajaan tersebut, Yakult turut menyumbang kepada program-program pembangunan bola sepak akar umbi bersama Terengganu FC yang akan dijalankan secara berperingkat.

Hiroshi Hamada (berdiri) – Foto: Terengganu FC

“Selaras dengan falsafah korporat Yakult iaitu menyumbang kepada kesihatan dan kebahagiaan orang ramai di seluruh dunia, Yakult sememangnya amat menyokong kepada segala program dan aktiviti yang dapat membina kesihatan yang baik selain daripada mewujudkan persekitaran yang baik,” ujar Hamada.

Tambah Hamada lagi, “pasukan ini telah mempamerkan prestasi yang baik dan membanggakan pada tahun sebelumnya hingga menyaksikan mereka layak untuk beraksi pada Kejohanan Piala Asia 2021.” 

“Ini membuktikan pasukan ini berkualiti dan mempunyai misi besar pada musim ini dan Yakult mahu menjadi sebahagian kecil yang menyumbang kepada kejayaan pasukan ini pada masa akan datang.”

Untuk rekod, Terengganu FC menamatkan saingan Liga Super 2020 di tangga ketiga manakala untuk saingan Piala Malaysia, skuad berpangkalan di pantai timur ini berjaya mara ke pentas suku akhir sebelum pertandingan tersebut dibatalkan ekoran kekangan penularan pandemik Covid-19.

Featured Image: Terengganu FC

komen