Written by 8:07 pm Bola Sepak, Malaysia

Status Pengambilalihan KDA FC Oleh Syarikat Swasta Telah Capai 80%

Bukan menjadi satu rahsia lagi bahawa Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) bakal dimiliki oleh gabungan dua syarikat swasta iaitu Flumen Holdings dan Go Auto Group menerusi sebuah syarikat tujuan khas (SPV).

SPV terbabit dikatakan bakal mengambilalih 80% pegangan saham KDA FC yang dimiliki oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebelum daripada ini.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Flumen Holdings, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman yang mengetuai pengambilalihan ini optimis prosesnya bakal lengkap dalam masa terdekat. 

Pada masa yang sama, beliau yakin pihaknya akan diumumkan sebagai pemilik baharu skuad Hijau Kuning secara rasmi dalam satu majlis yang akan diadakan pada minggu hadapan.

“Boleh saya katakan progress (pengambilalihan) ini sudah (berjalan) dalam 70%-80%.”

“Kita dapat kerjasama penuh daripada KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) dan terutamanya kerajaan negeri, jadi saya tidak nampak apa-apa masalah.”

“Insya-Allah saya sangat optimis (pengumuman rasminya pada minggu hadapan).” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz, hari ini.

Mengulas mengenai proses pengambilalihan tersebut, Shaizuan mengaku ianya agak rumit dan memakan masa kerana pihaknya perlu menyemak segala kontrak melibatkan para pemain dan barisan kejurulatihan.

Tidak ketinggalan, mereka turut menyemak sekiranya terdapat isu-isu berbangkit yang lalu melibatkan pasukan ini pada masa lampau sebagai langkah berhati-hati agar tidak mengganggu perancangan KDA FC di masa hadapan.

Rekaan jersi dengan logo Go Auto Group dan Flumen Holdings oleh peminat.

Sementara itu, beliau yang merupakan anak jati kelahiran Jitra ini berkata setelah lengkapnya pengambilalihan tersebut, perkata utama yang akan diberikan tumpuan adalah menyusun barisan pengurusan KDA FC yang mantap.

Ianya akan melibatkan kepada jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Operasi (COO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan pelbagai jawatan lagi sehingga ke lapisan paling bawah.

“Dalam struktur biasa korporat, apabila kita melakukan pengambilalihan ini, kita tidak (melakukan perubahan pengurusan) secara tergesa-gesa, mana yang masih boleh digunakan (khidmatnya) akan kita teruskan.”

“Ada kemungkinan kita kekalkan (pengurusan) sedia ada dan ada kemungkinan kita dapatkan (individu) yang baharu. Dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah yang pertama akan dijalankan nanti, kita akan tentukan.” tambahnya lagi.

Sesuai dengan pemilikan secara korporat, Shaizuan turut menjelaskan individu-individu yang mengisi setiap posisi di bahagian pengurusan KDA FC akan tertakhluk kepada penetapan indeks prestasi utama (KPI).

Bagaimanapun, para peminat KDA FC tidak perlu risau sekiranya pengambilalihan ini akan menyebabkan perubahan kepada barisan pemain dan kejurulatihan yang boleh dikatakan sudah lengkap.

Hal Ini kerana Shaizuan telah memberikan jaminan bahawa pihaknya berpuas hati dengan persiapan yang dijalankan oleh pengurusan terdahulu dalam menyiapkan skuad KDA FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2021.

“Pada dasarnya, Insya-Allah kita tak kacau (barisan pemain dan jurulatih) kerana akan mengganggu perjalanan pasukan. Kita pula datang (ambil alih) ketika mereka telah lengkapkan pasukan. Semuanya sudah okay.”

“Kita (juga) berpeluang berbincang dengan pihak kejurulatihan, kita nampak mereka gembira (dengan skuad ini), jadi kegembiraan ini kita tak mahu ganggu.” ujarnya.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

(Visited 1,572 times, 1 visits today)
Close