Written by 5:36 pm Bola Sepak, Eropah, Malaysia

Beraksi Bersama Xhaka & Chappuis Antara 5 Perkara Menarik Mengenai Oliver Buff

Pasukan berpangkalan di Lembah Klang iaitu Selangor FC mengumumkan secara rasmi ketibaan pemain import baharu iaitu Oliver Buff untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2021 menerusi media sosial, hari ini.

Pemain kelahiran Baden, Switzerland ini dilahirkan pada 3 Ogos 1992 dan kini berusia 28 tahun. Dia merupakan seorang pemain tengah menyerang (attacking midfielder) yang mempunyai ketinggian 1.76 meter.

Mesra dengan panggilan Oli, skuad The Red Giants membuat keputusan untuk mendapatkan pemain ini bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh perancang veteran, Sandro da Silva Mendonca yang berhijrah ke pasukan Liga Premier, Sarawak United pada hujung tahun lalu.

Berikut adalah lima perkara menarik mengenai Oliver Buff yang dapat dipersembahkan oleh Sukanz: 

#1 Pernah Beraksi Bersama Bintang Arsenal & Pemain Kacukan Skuad Kebangsaan Thailand

Oliver Buff (No.8), Charyl Chappuis (No.4) dan Granit Xhaka (No.11) dalam kesebelasan utama Switzerland B-17 – Foto: Swissinfo.ch

Sekitar 12 tahun lalu, Oli terpilih untuk mewakili skuad bawah 17 tahun (B-17) negaranya untuk beraksi dalam kejohanan Piala Dunia B-17 FIFA pada tahun 2009 di Nigeria. Kejohanan yang berlangsung pada 24 Oktober hingga 15 November itu menyaksikan skuad yang diwakili oleh Oli berjaya muncuk selaku juara setelah menewaskan pasukan tuan rumah dengan keputusan 1-0 pada perlawanan akhir.

Menariknya, pada kejohanan tersebut Oli merupakan rakan sepasukan kepada pemain bintang Arsenal iaitu Granit Xhaka dan juga pemain kacukan skuad kebangsaan negara jiran tetangga, Thailand iaitu Charyl Chappuis.

#2 Mewakili Switzerland Beraksi di Temasya Sukan Olimpik 2012 London

Oliver Buff ketika tahun 2011 – Foto: Schweizerischer Fussballverband – Association Suisse de Football

Kejayaan Oliver menjuarai Piala Dunia B-17 pada tahun 2009 di Nigeria membolehkannya disenaraikan untuk mengganggotai skuad Switzerland untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2012 yang berlangsung di London.

Antara beberapa nama yang terkenal turut serta bersama Oliver dalam skuad tersebut adalah bekas pertahanan AC Milan, Ricardo Rodriguez, pertahanan tengah yang beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris bersama Newcatsle United, Fabian Schar dan juga bekas penjaga gol AS Monaco, Diego Benaglio. 

Bagaimanapun, Oliver dan rakan-rakannya gagal mengulangi kehebatan ketika beraksi pada kejohanan Piala Dunia dua tahun sebelumnya di temasya ini. Mereka antara pasukan paling awal terpaksa mengemas beg baju setelah terperosok di dasar Kumpulan B dengan mencatatkan satu seri dan tumpas sebanyak dua kali.

#3 Menjulang Piala Sebanyak 3 Kali Bersama FC Zurich

Oliver Buff ketika bersama FC Zurich.

Oli merupakan produk kepada sebuah kelab yang terkenal di negaranya iaitu FC Zurich. Memulakan karier bola sepaknya pasukan tersebut semenjak zaman remajanya sebelum berhasil menembusi skuad utama pada tahun 2010. Sepanjang beraksi bersama pasukan yang mendapat julukan Der Stadtclub (The City Club), Oliver mempunyai kenangan manis sebanyak tiga kali apabila berjaya menjulang Piala Swiss pada musim 2013/14 dan 2015/16 serta menjuarai liga divisyen dua sebanyak sekali pada musim 2016/17.

#4 Pemain No.10 Dengan Kemampuan ‘Through Pass’ & Menjaringkan Gol Menerusi Sepakan Percuma Serta Penalti

Kita sedia makluma, Oliver merupakan seorang pemain tengah menyerang namun bagaimanakah corak permainannya di atas padang. Apakah kemampuan dan kebolehannya. Posisi manakah dia sering bermain?

Berdasarkan pemerhatian, pemain ini merupakan seorang tipikal No.10 yang mampu menyuapkan bola kepada penyerang menerusi ‘through pass’ yang berbisa. Selain itu, dia turut mempunyai kawalan dan gelecekan bola yang baik. Kelebihannya sangat menyerlah apabila bermain dalam sistem 4-2-3-1.

Sebagai tambahan, Oliver yang merupakan pemain berkaki dominan kanan sering diberikan tanggungjawab untuk mengambil sepakan percuma dan penalti terutamanya ketika beraksi bersama pasukan Sepanyol, Real Zaragoza. Berdasarkan rekod sebuah laman sesawang, Oliver telah merobek gawang lawan sebanyak 37 kali dan melakukan 40 ‘assist’ kepada rakan sepasukan.

#5 Suatu Masa Dahulu, Khidmat Oliver Diintai Sendiri oleh Karsten Neitzel

Kedatangan Oliver ke saingan Liga Malaysia pastinya disebabkan oleh kehadiran jurulatih baharu Selangor FC, Karsten Neitzel. Menurut makluman kelab, Karsten sendiri menyatakan bakat dan khidmat Oliver pernah diintainya sendiri pada suatu masa dahulu.

Foto: Selangor FC

Bagaimanapun, dia tidak dapat mendatangkan khidmat OIiver ke salah sebuah pasukan kendaliannya atas sebab-sebab tertentu. Akan tetapi, sejak daripada saat itu, perkembangan karier Oliver sering diikuti oleh Karsten.

Siapa sangka, beberapa tahun kemudian, jauh daripada benua eropah, Selangor FC menjadi asbab pertemuan jodoh dua individu ini untuk bekerjasama di dalam padang bagi membantu The Red Giants mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Featured Image: Selangor FC, Muangthong United & Granit Xhaka

(Visited 366 times, 1 visits today)
Close