Artikel

KL United Ikat Pertahanan Tengah Lubnan Kelahiran Perancis

Pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Kuala Lumpur United (KL United) FC dimaklumkan telah mengikat seorang pertahanan tengah untuk mengisi slot pemain import asianya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Menurut makluman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL United FC, Stanley Bernard mengatakan pemain tersebut datangnya dari rantau asia barat iaitu Lubnan. Akan tetapi, pertahanan ini sedikit istimewa kerana merupakan pemain kelahiran Perancis.

Bagaimanapun, Stanley tidak mengulas panjang mengenai siapakah gerangan pemain tersebut namun beliau memberitahu pihaknya telah berjaya mendapatkan pertahanan tersebut secara ‘hitam putih’.

Stanley Bernard

“(Dia) pertahanan tengah, dia dalam perjalanan dan akan sampai dalam beberapa hari lagi (di Malaysia), bukan mudah untuk bawa masuk dia (kerana Perintah Kawalan Pergerakan pada masa ini) dan kita telah berjaya dapatkannya.

“(Pemain) Lubnan tetapi dia sebenarnya lahir di Perancis. Dia (pemegang) passport Lubnan jadi (mengisi slot) pemain asia.” katanya ketika bercakap kepada Sukanz, pada hari ini.

Pemain ini pastinya bakal menjadi taruhan utama ketua jurulatih, Bojan Hodak untuk digandingkan bersama salah seorang pertahanan tengah tempatan skuad ibu kota samada Shukor Adan, Irfan Zakaria atau Wan Amirzafran bagi membentuk benteng KL United bagi musim ini.

Sementara itu, pihaknya sedang berunding dengan seorang pemain bagi mengisi slot pemain import ASEAN, Belum ada sebarang kesepakatan dicapai bersama pemain tersebut namun sekiranya berjaya, dia akan diumumkan sebagai pemain KL United dalam tempoh 2-3 hari lagi.

“(Pemain) ASEAN masih dalam perbincangan. Kita akan pastikan ‘hitam putih’ akan dilakukan pada minggu ini.” katanya lagi.

Sebelum ini, KL United telah menyambung khidmat pemain importnya musim lalu iaitu Paulo Josue. Manakala dua pemain import yang tidak asing lagi dalam kancah liga tempatan iaitu Dominique Da Sylva dan Romel Morales turut diikat oleh KL United.

Sementara itu, Stanley turut berkata untuk pelancaran jersi baharu KL United, ianya akan berlangsung sekitar seminggu sebelum daripada sepak mula saingan Liga Super 2021. 

Hal ini kerana beberapa perkara melibatkan urusan penajaan bersama pihak korporat tidak dapat dimuktamadkan sebelum daripada ini ekoran kekakangan Perintah Kawalan Pergerakan.

Namun begitu, apa yang pasti, Stanley mengesahkan skuad ibu kota akan terus menerima penajaan persalinan daripada PUMA untuk saingan musim ini.

komen