Written by 4:39 pm Bola Sepak, Malaysia

Alex Goncalves, Manuel Ott Telah Tiba di Melaka, Stefan Nikolic Sedang Dalam Proses

Senarai lima pemain import Melaka United FC dilihat hampir lengkap dalam usahanya menyediakan pasukan untuk mengharungi saingan Liga Super 2021 yang akan bermula pada awal mac hadapan.

Skuad Hang Tuah telah mengekalkan dua pemain import musim lalu iaitu pertahanan Jang Suk-won dan pemain tengah menyerang Sonny Norde.

Ini menjadikan Melaka United hanya memburu tiga pemain import baharu bagi menggantikan Uche Agba, Romel Morales dan Naruphon Putsorn yang dilepaskan pada tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri, beliau memaklumkan telah mendapatkan khidmat pemain tengah skuad kebangsaan Filipina, Manuel Ott dan penyerang Brazil, Alex dos Santos Goncalves.

Manuel Ott

“Yang sudah sampai (di Melaka) Manuel Ott dari Filipina yang masih bermain (bersama) skuad kebangsaan,”

“Kita telah menandatangani seorang pemain dari Brazil iaitu Alex dos Santos Goncalves, penyerang yang beraksi dalam saingan Liga Indonesia dan (merupakan) penjaring ketiga terbanyak (pada musim 2019).” katanya ketika dihubungi Sukanz, hari ini.

Baca: Kenali Alex Gonçalves Peledak Yang Dikaitkan Dengan Penghijrahan Ke Liga Malaysia

Untuk baki seorang lagi pemain import, sebelum daripada ini Melaka United dikhabarkan akan mengikat penyerang Croatia iaitu Ivan Lendric namun ianya tidak kesampaian. Disebabkan hal itu, nama bekas penyerang mereka pada musim 2017 iaitu Marko Simic menjadi pilihan alternatif mereka untuk mengisi posisi penyerang.

Bagaimanapun, Simic yang kini bersama Persija Jakarta juga tidak dapat dibawa ke Melaka dan Saiful memaklumkan mereka sedang dalam proses menguruskan kemasukan penyerang Montenegro yang berusia 30 tahun, Stefan Nikolic.

Stefan Nikolic

“Kita akan mendapat khidmat (seorang) penyerang juga iaitu Stefan Nikolic, kita mengharapkan dia akan sampai sebelum kita pergi (mengharungi) perlawanan persahabatan di Johor pada 13hb.” tambahnya lagi.

Untuk makluman, perlawanan persahabatan tersebut merupakan sebahagian daripada aksi kejohanan lima penjuru yang membabitkan pasukan Johor Darul Tazim (JDT), Terengganu FC, Sri Pahang dan Kuching City.

Ianya akan diadakan dengan format liga satu pusingan (single round robin).

(Visited 87 times, 1 visits today)
Close