Artikel

Kontrak Khairul Fahmi Che Mat Bersama Melaka United Sehingga 2022

Penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dimaklumkan kekal sebagai pemain Melaka United FC untuk tempoh sekurang-kurangnya untuk tempoh dua musim lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri, beliau berkata Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek telah melanjutkan kontraknya bersama skuad Hijau Putih sehingga ke penghujung tahun 2022.

“Setakat ni Apek masih kekal bersama Melaka United FC dan beliau telah menandatangani kontrak selama dua musim sehingga 2022.” jelasnya ketika bercakap kepada Sukanz.

Ini sekaligus menafikan gosip mengenai penjaga gol kelahiran negeri Kelantan itu bakal berubah haluan untuk menyertai juara tujuh kali Liga Super Maysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Gosip tersebut timbul selepas tertularnya sebuah tangkap layar di dalam sistem pendaftaran pemain dan pegawai dalam bagi saingan Liga Malaysia iaitu MyPAS melibatkan nama Apek ke skuad Harimau Selatan.

“Saya tak dapat panggilan daripada sesiapa pun untuk mengambil Apek ni.” katanya lagi.

Untuk makluman, Apek mula menyertai pasukan Melaka United bermula daripada tahun 2018. Sebelum daripada itu, penjaga gol berusia 32 tahun ini merupakan penjaga gol pasukan Kelantan sejak tahun 2009.

Bersama pasukan tersebut, Apek telah memenangi kesemua kejuaraan saingan domestik iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Bersama skuad kebangsaan pula Apek merangkul kejuaraan Piala AFF 2010 dan pemenang pingat emas saingan bola sepak lelaki dalam temasya Sukan SEA 2011 bersama skuad Harimau Muda.

Featured Image: Malaysian Football League

komen