Written by 6:33 pm Bola Sepak, Malaysia

Mohon Siar Perlawanan Bola Secara Langsung Di Saluran TV Tempatan

Bermula saingan Liga Malaysia 2021, pihak kerajaan telah mengumumkan membenarkan kemasukan penyokong ke stadium bagi menonton perlawanan-perlawanan bola sepak tempatan.

Pengumuman yang dibuat pada tahun lalu itu, hanya membenarkan kemasukan penonton seramai 10% daripada kapasiti sesebuah stadium atau maksimum 4000 orang bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula, tiada sebarang penyokong dibenarkan masuk ke dalam stadium untuk menonton perlawanan bola sepak.

Namun dalam keadaan hampir semua negeri di Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan angka jangkitan pandemik Covid-19 yang masih tinggi sejak kebelakangan ini, peluang untuk pihak kerajaan membenarkan kemasukan penyokong ke dalam stadium berada dalam keadaan samar-samar.

Kemasukan penyokong dan penonton yang terhad ke stadium ini sememangnya memberikan impak kewangan kepada pasukan-pasukan bola sepak apabila kebanyakan penaja ‘berat hati’ untuk meneruskan penajaan kerana ianya memberikan pulangan pelaburan yang kecil kepada perniagaan mereka.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC, Mohd Saiful Mat Sapri memohon agar pihak penganjur iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk melakukan rundingan agar disiarkan perlawanan-perlawanan Liga Malaysia di saluran televisyen  tempatan.

Ini akan memberikan penyokong-penyokong tempatan untuk menonton aksi bola sepak melibatkan pasukan kesayangan mereka di kaca televisyen terutamanya kalangan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

CEO Melaka United FC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri

“Saya mengharapkan MFL atau FAM mencari jalan alternatif sekiranya penyokong tidak boleh masuk ke stadium, kita mengharapkan mereka berunding dengan pihak stesen-stesen televisyen di dalam negara untuk dibuat liputan secara langsung.

“(Hal ini) supaya penyokong-penyokong (bola sepak) dapat tengok (perlawanan) secara langsung di mana-mana stesen televisyen (termasuk) kawasan pedalaman yang tiada capaian internet.” katanya kepada Sukanz.

Selain daripada memberikan peluang kepada penyokong-penyokong untuk menonton aksi pasukan kesayangan mereka, usaha ini juga dapat menarik minat dan keyakinan penaja untuk terus menaja pasukan-pasukan kerana mendapat liputan yang lebih meluas.

Sumber kewangan menerusi penajaan ini penting untuk kelangsungan setiap pasukan lebih-lebih lagi setelah mereka tidak dapat menjana kewangan menerusi penjualan tiket ekoran kekangan dan kemasukan penyokong yang terhad ke dalam stadium.

Untuk makluman, hak penyiaran eksklusif, mudah alih dan penstriman bagi saingan Liga Malaysia yang merangkumi kejohanan Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia dimiliki oleh anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) iaitu TM Multimedia sehingga tahun 2022.

Saingan pasca PKP tahun lalu menyaksikan TM mengumumkan siaran langsung saingan Liga Super dan kejohanan Piala Malaysia 2020 disiarkan secara percuma di Youtube.

(Visited 276 times, 1 visits today)
Close