Written by 6:08 pm Bola Sepak, Malaysia

Bekas Pemain JDT II, Sean Gan Mahu Tebus Kekecewaan Musim Lalu

Pemain tengah Kuala Lumpur United FC, Sean Gan Gianneli berharap tidak lagi dibelenggu sebarang kecederaan yang mampu merencatkan prestasinya pada tahun ini selepas berdepan cabaran yang cukup getir pada musim lalu.

Musim pertamanya bersama Kuala Lumpur pada tahun lalu tidak berjalan dengan sempurna apabila mengalami kecederaan buku lali pada pra musim sekali gus mengetepikan peluangnya untuk berada dalam skuad utama dan hanya sempat beraksi bagi satu perlawanan sahaja.

Nyata ia satu pengalaman yang memeritkan untuk bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT II) ini kerana tidak berjaya mendapatkan minit permainan yang diinginkan khususnya pada saat Kuala Lumpur beraksi cemerlang layak ke saingan Liga Super musim ini.

Namun, Sean berazam ingin menebus kembali kekecewaan pada tahun lalu untuk berusaha kembali ke tahap optimum bagi memastikan tempat dalam kesebelasan utama selain ingin membantu pasukan terus kekal dalam saingan Liga Super.

“Saya bersyukur dan gembira apabila masih diberi peluang bersama pasukan ini buat tahun kedua dan paling teruja apabila ini akan menjadi pengalaman baharu untuk saya beraksi dalam Liga Super buat kali pertama.

“Memang tahun lepas adalah musim yang cukup mencabar disebabkan kecederaan buku lali dan saya langsung tidak dapat merasai minit permainan yang mana lebih teruk, liga juga hanya berjalan separuh musim.

“Jadi, saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberikan ini dan fokus utama saya adalah untuk memastikan bebas daripada kecederaan sepanjang musim ini kerana enggan terus diketepikan buat kali kedua,” jelasnya.

Sean ketika beraksi bersama JDT III pada tahun 2018

Lima musim bersama Harimau Selatan sebelum ini nyata memberi pengalaman berbeza buat pemain berusia 25 tahun ini dalam membina kariernya dan mahu mencipta lebih banyak kejayaan bersama skuad the City Boys.

Tambahnya, JDT II sentiasa mengajar pemain-pemainnya agar mempunyai mentaliti juara dalam setiap perlawanan dan kini dia akan memastikan mentaliti sebegitu sentiasa ada dalam diri untuk membantu Kuala Lumpur mengejar misi musim ini.

“Sememangnya satu pengalaman yang cukup berharga ketika saya bersama JDT II sebelum saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan setiap apa yang dipelajari akan saya gunakan sebaiknya kali ini.

“Baik JDT dan Kuala Lumpur, kedua-duanya sentiasa mementingkan setiap perlawanan harus berakhir dengan kemenangan dan ianya sangat bagus untuk saya sentiasa ada mentaliti sebegitu dalam setiap aksi.

“Cuma suasananya mungkin akan lebih berbeza kerana situasi kali ini agak suram dengan pandemik COVID-19 yang melanda dan harap kami semua dapat sama-sama harunginya dengan kuat pada musim ini”, katanya.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 284 times, 1 visits today)
Close