Written by 9:21 pm Bola Sepak, Malaysia

Posisi Manakah Untuk Sumareh Atau Bakal Memanaskan Bangku Simpanan?

Penyerang sayap naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh diperkenalkan sebagai pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi menerusi satu video pengenalan pemain yang dimuat naik di laman sosial JOHOR Southern Tigers, pada hari ini.

Sumareh menjadi pemain keempat yang dibawa masuk oleh skuad Harimau Selatan pada jendela perpindahan pada kali ini selepas mengumumkan mengikat khidmat Danial Amier, Syahrian Abimanyu dan Jonathan Herrera.

Seperti kita sedia maklum, dengan mendapatkan khidmat pemain kelahiran Gambia ini, JDT bakal memperoleh kelebihan daripada seorang pemain yang mempunyai larian dengan bola dan tanpa bola yang pantas, kekuatan fizikal dan juga berkemampuan untuk menjaringkan gol.

Posisi Yang Boleh Dimainkan Oleh Sumareh

Sumareh ketika beraksi bersama skuad kebangsaan

Satu persoalan menarik yang boleh dibangkitkan di sini adalah posisi manakah Sumareh akan bermain bersama skuad kendalian Benjamin Mora bermula saingan musim 2021 kelak?

Seperti kita sedia maklum, Sumareh merupakan seorang pemain yang versatil di bahagian serangan atau di posisi tengah menyerang. Bersama pasukan Pahang sejak tahun 2017 sehingga 2020, kita dapat menyaksikan Sumareh digunakan oleh Dollah Salleh sebagai pemain sayap kanan (posisi dominan) dan juga penyerang kedua dalam sistem 4-4-2.

Sementara itu, ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, pemain berusia 26 tahun ini dimainkan di posisi sayap kanan dan sayap kiri serta penyerang No.9 jadian terutamanya ketika menentang Indonesia pada tahun 2019 dalam sistem 4-2-3-1.

Besar kemungkinan posisi sayap kanan yang akan diisi oleh Sumareh namun tiada siapa yang tahu mengenai perancangan Mora terhadap Sumareh dan ianya bakal menjadi perhatian semua peminat bola sepak tanah air kelak.

Pemain Yang Akan Menjadi Saingan Sumareh di JDT

Safawi Rasid

Sumareh tidak akan mendapat laluan mudah untuk menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama JDT bagi saingan musim 2021 baik dalam kejohanan domestik, Liga Super dan Piala Malaysia mahupun kejohanan antarabangsa, Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Pada saat ini, bagi posisi sayap kanan, Sumareh akan mendapat saingan sengit daripada seorang lagi penyerang sayap kebangsaan iaitu Safawi Rasid serta pemain muda yang sedang meningkat naik, Ramadhan Saifullah.

Manakala di posisi sayap kiri pula, penyerang sayap kiri prolifik kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera serta pemain muda tempatan, Akhyar Rashid akan menjadi saingan buat Sumareh.

Jika melihatkan kepada dua posisi lain yang turut mampu dimainkan oleh Sumareh iaitu penyerang dan penyerang kedua, dia perlu bersaing dengan penyerang baharu iaitu Jonathan Herrera, Leandro Velazquez, dan Nazmi Faiz Mansor.

Jelasnya, Sumareh perlu memberikan segala-galanya ketika sesi latihan bagi menarik perhatian Benjamin Mora supaya menyenaraikannya dalam kesebelasan utama JDT.

Peluang Untuk Menembusi Kesebelasan Utama

Ramadhan Saifullah

Dengan saingan yang begitu tinggi daripada pemain-pemain di beberapa posisi, ada kemungkinannya untuk Sumareh sekadar memanaskan bangku simpanan pada setiap minggu.

Namun perlu juga diakui bahawa Sumareh merupakan seorang pemain berkualiti dan bertaraf sebagai pemain skuad kebangsaan serta ‘regular player’ bersama pasukan lamanya, Pahang.

Malahan ketika beraksi dalam tempoh yang pendek bersama Police Tero FC, Sumareh juga berjaya melakukan beberapa penampilan dalam saingan Liga Thai walaupun pada saat itu dia sedikit bergelut dengan isu kecergasan.

Seperkara lagi, JDT merupakan satu-satunya pasukan tanah air yang bermain di kejohanan ACL 2021, dan di sini, JDT akan mempunyai lebih perlawanan berbanding pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia.

Lebih perlawanan bermakna JDT perlu melakukan penggiliran pemain untuk mengharungi 3 kejohanan musim ini dan perkara ini akan membuka peluang kepada Sumareh untuk membarisi kesebelasan utama skuad Harimau Selatan.

Kesimpulannya, Sumareh mempunyai peluang untuk membarisi kesebelasan utama JDT namun dia perlu bekerja keras dan bersaing bagi merebut mana-mana posisi di bahagian serangan bersama beberapa pemain lain lagi.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 125 times, 1 visits today)
Close