Written by 8:44 pm Bola Sepak, Eropah, Malaysia

Situasi Menang-Menang Jika Kelab Malaysia Bekerjasama Dengan Kelab Sepanyol

Pasukan tempatan boleh mengambil peluang untuk berkolaborasi atau bekerjasama dengan kelab-kelab berpangkalan di Sepanyol memandangkan mereka dalam usaha untuk membesarkan ‘fan base’ di negara ini.

Menerusi kolaborasi atau kerjasama ini, pasukan tempatan boleh memanfaatkannya untuk mempelajari atau mengambil inspirasi dalam pelbagai bidang meliputi hal teknikal, urus tadbir kelab, pemasaran dan sebagainya daripada pasukan-pasukan di Sepanyol.

Antara perkara lain yang boleh dipelajari oleh pasukan tempatan adalah bagaimana membangunkan akademi popular seperti La Masia, La Fabrica dan Akademi Valencia yang melahirkan pemain-pemain bintang untuk kelab masing-masing.

Kerjasama ini pastinya dapat membantu pasukan tempatan untuk membina asas dan membangunkan pasukan masing-masing lebih-lebih lagi untuk mengharungi tahun pertama selepas pertukaran daripada FA (Football Association) kepada FC (Football Club).

Giorgio Pompili Rossi – Foto: MFL

Delegasi La Liga ke Malaysia, Giorgio Pompili Rossi amat berbesar hati untuk membantu hasrat mana-mana pasukan tempatan yang ingin melakukan kerjasama bersama mana-mana pasukan daripada Sepanyol.

“Sekiranya terdapat peluang atau mana-mana kelab di Malaysia yang berminat untuk bekerjasama dengan kelab-kelab La Liga, sudah pasti saya akan cuba untuk jadikannya kenyataan,

“Kami akan lihat apa yang boleh dilakukan dan bagaimana kerjasama ini dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua kelab.”

“Sangat menarik sekiranya ada kelab dari Malaysia dan Sepanyol bekerjasama kerana banyak cabang pasukan dari Malaysia dapat mengambil inspirasi (daripada kelab Sepanyol),

“Pada masa yang sama kelab Sepanyol sedang melihat untuk membesarkan ‘fan base’ dan penduduk Malaysia, mereka sangat gilakan bola sepak.” kata Giorgio semasa sesi media bersama La Liga, hari ini.

Majlis menandatangi kerjasama di antara Pahang Rangers dan Levante UD pada 2020.

Giorgio turut menerangkan, pada ketika telah berlaku satu kerjasama melibatkan pasukan dari Malaysia dan Sepanyol iaitu di antara pasukan futsal, Pahang Rangers dan Levante UD yang dimuktamadkan pada tahun lalu.

Salah satu hasil daripada kerjasama ini, dilaporkan Pahang Rangers berpeluang untuk menghantar pemain-pemainnya menjalani latihan di Sepanyol selain mendapatkan bimbingan untuk pembangunan akar umbi.

“Perjanjian kami bukan sahaja antara La Liga dan MFL, sudah tentu ada perkara yang dapat dimanfaatkan oleh kelab-kelab tempatan daripada perjanjian ini,” tambah Giorgio lagi.

(Visited 81 times, 1 visits today)
Close