Written by 5:56 pm Bola Sepak, Eropah

Luis Garcia: La Liga Kekal ‘Gah’ Walau Tanpa Kelibat Lionel Messi

Saingan liga divisyen tertinggi bola sepak Sepanyol, La Liga tidak risau kehilangan kelibat pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali, Lionel Messi sekiranya dia berhijrah meninggalkan FC Barcelona kelak.

Ketika ini, pemain yang terkenal dengan julukan La Pulga itu mempunyai baki kontrak bersama kelab gergasi Sepanyol tersebut sehingga pertengahan tahun ini. Namun setakat ini, tiada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan beliau akan menurunkan tandatangannya ke atas lanjutan kontrak bersama Barcelona dalam masa terdekat.

Melihatkan perkembangan sedemikian, ramai peminat beranggapan sekiranya Messi berhijrah ke pasukan yang bersaing dalam kancah bola sepak negara seperti England, Perancis atau Itali, populariti saingan La Liga pastinya akan menurun mendadak.

Bagaimanapun, Duta La Liga, Luis Garcia tidak beranggapan sebegitu dan bekas pemain Liverpool dan Atletico Madrid ini berpendapat La Liga akan terus menjadi salah satu saingan bola sepak terbaik di dunia serta menarik pemain-pemain terbaik dunia yang lain.

Duta La Liga, Luis Garcia

“La Liga sudah menjangkau usia 90 tahun, sebelum ini tiada langsung kelibat Lionel Messi, akan tiba masanya Lionel Messi akan pergi dan La Liga akan terus berjalan, 

“Kami akan terus berkembang kerana ianya bukan semata-mata kerana Lionel Messi yang merupakan salah seorang pemain penting, dan bagi saya merupakan pemain terbaik di dunia.” katanya ketika sesi media bersama La Liga, semalam.

Beliau sendiri tidak mengetahui apa perancangan Messi samada berhijrah seperti yang diramalkan oleh orang ramai atau berubah fikiran untuk kekal. Namun pada saat ini, beliau dan rakan-rakan di La Liga mengambil peluang menikmati setiap detik yang ada untuk melihat kelibat pemain tersebut di Sepanyol.

Lionel Messi dan Antoine Griezmann

Luis turut meramalkan, segala-galanya akan diketahui pada jendela perpindahan musim panas kelak. Selain itu, walaupun penyerang kelahiran Argentina itu kekal di Sepanyol, dengan mengambil kira faktor umurnya, akan tiba masanya, Messi akan menggantung butnya jua.

“(Pada masa yang sama) La Liga akan terus berjalan dan terus berkembang, kami akan terus memperbaiki dan mempertingkat liga (dari semasa ke semasa) dan akan terus mencuba untuk membawa pemain-pemain terbaik dari seluruh dunia. 

“Dan saya boleh jamin bahawa pemain-pemain terbaik dunia akan ke La Liga dan ini menunjukkan kami merupakan liga yang kompetitif di dunia.” katanya lagi.

Untuk makluman, sekitar 10 tahun kebelakangan ini, populariti La Liga meningkat berganda-ganda apabila wujudnya perseteruan di antara dua pemain terbaik dunia iaitu Messi dan Cristiano Ronaldo masing-masing mewakili dua pasukan yang menjadi rival di Sepanyol iaitu Barcelona dan Real Madrid.

Featured Image: FC Barcelona

(Visited 73 times, 1 visits today)
Close