Written by 6:55 pm Bola Sepak, Malaysia

Perbandingan Red Giants Team Card vs TFC Membership Card, Manakah Paling Berbaloi?

Menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia 2021, Selangor FC dan Terengganu FC merupakan dua pasukan yang menggerakkan usaha untuk mendekatkan para penyokongnya dengan mengadakan pendaftaran keahlian buat pasukan masing-masing.

Selangor FC, pasukan berpangkalan di Lembah Klang sudah lama mengadakan inisiatif ini dimana mereka memulakannya pada tahun 2019 manakala skuad yang berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC baru sahaja memulakan inisiatif yang sama pada tahun ini.

Bercakap mengenai kad keahlian kedua-dua pasukan yang bersaing dalam kancah Liga Super ini, selain daripada memberi peluang kepada para penyokong masing-masing untuk menjadi sebahagian daripada pasukan, ianya turut disertakan dengan beberapa manfaat dan kelebihan bersama rakan penajaan pasukan masing-masing.

Di sini Sukanz membuat perbandingan di antara kad keahlian milik Selangor FC dan Terengganu FC dan melihat pasukan manakah yang memberikan manfaat paling berbaloi kepada penyokong-penyokong yang berdaftar bersama pasukan masing-masing.

#1 Harga Pendaftaran Kad Keahlian

Harga pendaftaran bagi kad keahlian Selangor FC iaitu Red Giants Team Card hanyalah RM20. Manakala kad keahlian untuk pasukan Terengganu FC iaitu TFC Membership Card ianya diletakkan pada harga RM30.

Pendaftaran kedua-dua kad keahlian pasukan boleh dilakukan secara atas talian dan dibuka sepanjang tahun.

#2 Manfaat & Faedah Bersama Pasukan

Bagi pemilik Red Giants Team Card, mereka bakal mendapat manfaat seperti diskaun harga tiket dengan pembelian secara atas talian, diskaun 10% untuk cenderamata rasmi terpilih di kedai rasmi Red Giants serta diskaun eksklusif dengan rakan rasmi Team Card Red Giants.

Untuk pemegang TFC Membership Card pula, mereka mendapat diskaun di TFC Store dan potongan harga yang menarik di TFC Lab (Kedai Kopi). Selain itu, mereka akan diberikan keutamaan membeli tiket perlawanan lebih awal berbanding penyokong yang tidak berdaftar, berpeluang untuk mendapat tempat di semua majlis rasmi Terengganu FC dan menjadi pembaca terawal Majalah Digital TFC secara maya.

#3 Jumlah dan Jenis Rakan Rasmi Kad Keahlian

Berdasarkan kepada laman sesawang pasukan Selangor FC, Red Giants Team Card dilihat mempunyai 24 rakan rasmi yang terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan seperti kedai barangan sukan, pusat jualan dan servis kenderaan, makanan dan minuman, gelanggang sukan, hospital dan beberapa lagi.

Untuk TFC Membership Card pula, mereka mempunyai 29 rakan rasmi yang terdiri daripada perhotelan, syarikat telekomunikasi, makanan dan minuman, kedai optometri, perkhidmatan gunting rambut, dobi, perniagaan alat ganti kenderaan, pengeluar dan penjual pakaian serta penyedia khidmat kesihatan dan lain-lain.

#4 Manfaat Paling Besar Yang Ditawarkan Oleh Setiap Pasukan

Berdasarkan pemerhatian kami, pemegang Red Giants Team Card mendapat manfaat yang paling besar menerusi Kowamas Edar (pusat servis 3S Honda rasmi) yang terletak di Kota Kemuning. Mereka berpeluang untuk mendapat rebat 2% tambahan (harga jualan) ditambah dengan promosi bulan Honda untuk pembelian kereta baharu. Selain itu, rebat sebanyak 20% turut diberikan kepada pemegang kad keahlian untuk alat ganti semasa membuat servis kereta Honda di pusat servis 3S yang sama.

Bagi pemegang TFC Membership Card, manfaat paling besar yang akan diperolehi adalah ketika menginap di Hotel Grand Continental Kuala Terengganu. Berdasarkan info di laman sesawang mereka, pemegang kad keahlian TFC akan mendapat potongan diskaun hampir 48% untuk Premium Room, diskaun sekitar 44% untuk Deluxe Room dan diskaun hampir 40% untuk Standard Room.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbandingan di atas, kami merumuskan Selangor FC menawarkan harga yang lebih murah untuk pendaftaran kad keahlian Red Giants Team Card disertakan dengan kelebihan mendapat diskaun (tertakhluk kepada T&C) di beberapa premis makanan tersohor seperti Domino’s, Kenny Rogers Roasters, Santan dan Llaollao seluruh Malaysia. 

TFC Membership Card pula hadir dengan pendaftaran yang sedikit mahal berbanding Selangor FC namun mereka memberikan lebih nilai eksklusif kepada pemegang kad menerusi manfaat menjadi yang terawal untuk undangan majlis rasmi TFC dan majalah digital. Manakala untuk manfaat bersama rakan penajaan, TFC memberikan lebih manfaat terutamanya dengan kerjasama daripada empat jenama perhotelan serta perniagaan setempat di negeri Terengganu.

Ini menjadikan TFC Membership Card merupakan kad keahlian yang lebih berbaloi dan seharusnya dimiliki khususnya para peminat tegar pasukan TFC.

(Visited 212 times, 1 visits today)
Close