Artikel

Tidak Dapat Penuhi Permintaan Pemilikan Stadium, Pengambilalihan KDA FC Oleh Syarikat Swasta Dibatalkan

Satu kejutan berlaku dalam kancah bola sepak tanah air apabila proses rundingan pengambilalihan saham pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) oleh sebuah gabungan syarikat swasta iaitu Flumen Holdings dan Go Auto Group yang sebelum ini dilaporkan hampir direalisasikan terpaksa dibatalkan.

Pengumuman pembatalan yang penuh kejutan itu diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Noor merangkap Menteri Besar Kedah dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma Darul Aman, pada hari ini.

“Proses pengambilalihan 80% saham KDA FC oleh sebuah syarikat yang saya umumkan beberapa minggu lepas tidak dapat dimuktamadkan, 

“Semalam, saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan rundingan tersebut dan pasukan bola sepak Kedah Darul Aman akan dikendalikan sepenuhnya oleh KDA FC yang ditubuhkan oleh KFA.” katanya dihadapan pengamal media.

Baca: Status Pengambilalihan KDA FC Oleh Syarikat Swasta Telah Capai 80%

Stadium Darul Aman

Menurutnya, proses pengambilalihan tersebut terpaksa dibatalkan kerana pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan syarikat swasta tersebut yang mahukan pemilikan dua buah stadium dan juga beberapa bidang tanah di negeri jelapang padi tersebut.

“Permintaan-permintaan daripada syarikat itu tidak dapat dipenuhi oleh KFA dan kerajaan negeri, permintaan terlalu besar untuk kita lepaskan.”

“Antara lain adalah pemilikan stadium, stadium ini milik Perbadanan Stadium, itu tak boleh (kerana) harta orang lain, Stadium Darul Aman dan Stadium Suka Menanti (Stadium Sultan Abdul Halim) itu dibawah kendalian dan hak milik Perbadanan Stadium,” jelasnya.

Sanusi turut berpandangan, pembatalan pengambilalihan ini sudah semestinya menyebabkan pelaburan dalam industri kenderaan teknologi hijau dan peralatan pertahanan bernilai RM1.5 bilion yang dijanjikan oleh kedua-dua syarikat ini di negeri Kedah sama sekali tidak akan diteruskan.

Susulan dengan pembatalan pengambilalihan oleh gabungan syarikat ini juga, Sanusi memaklumkan membuka peluang kepada syarikat-syarikat swasta lain yang berminat untuk mengambil alih KDA FC untuk datang melakukan rundingan bersama KFA selepas daripada ini.

Featured Image: UPDA

komen