Artikel

Duo Bek ‘Gergasi’ Goulon-Wague Jadi Taruhan Sri Pahang FC Untuk Musim 2021

Pasukan berpangkalan di pantai timur, Sri Pahang FC nampaknya bakal mempertaruhkan gandingan duo bek tengah import bersaiz ‘gergasi’ iaitu Herold Mark Goulon dan pemain import baharu, Mamadou Wague untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Gandingan dua bek tengah masing-masing beketinggian 1.97 meter dan 1.91 meter tersebut diuji buat pertama kalinya oleh ketua jurulatih Sri Pahang, Thomas Dooley dalam satu perlawanan persahabatan pramusim menentang Terengganu FC II di Stadium UiTM, Shah Alam, semalam.

Bercakap mengenai kemasukan Wague atau lebih dikenali sebagai Mama dalam kalangan rakan sepasukan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pemain tersebut menjadi pilihan pasukannya kerana mempunyai pengalaman beraksi bersama kapten pasukan sekitar tahun 2009 dan 2010 lalu.

“(Wague) pernah beraksi bersama rakan sepasukan (Herold) Mark Goulon di Le Mans FC, divisyen dua Perancis.” katanya kepada Sukanz

Selain daripada mempunyai fizikal yang tinggi untuk bermain di barisan pertahanan dan mempunyai pengalaman beraksi bersama Goulon, Suffian turut menjelaskan Wague menjadi calon yang tepat untuk mengisi slot pemain import asia buat Sri Pahang berikutan mempunyai pertalian darah dan passport Lubnan.

“Dia (merupakan kelahiran) Perancis tetapi keluarganya orang Lubnan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, berdasarkan pemerhatian dalam perlawanan menentang skuad Terengganu FC II semalam, gandingan kedua-dua pemain ini dilihat belum teruji sepenuhnya memandangkan pasukan lawannya hanya mengharapkan ancaman daripada penyerang tunggal, Jordan Mintah.

Bagaimanapun, sedikit kelekaan daripada dua gandingan ini turut menyebabkan penyerang Terengganu FC II itu berhasil menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan kedua sekaligus mengikat Sri Pahang dengan keputusan akhir 2-2.

Gandingan duo ini masih mempunyai masa untuk memperbaiki keserasian mereka memandangkan terdapat dua lagi perlawanan persahabatan pramusim yang telah diatur oleh pihak pengurusan khusus untuk mempersiapkan pasukan sebelum sepak mula Liga Super pada 5hb mac kelak.

Esok mereka akan bertemu pasukan UiTM FC kendalian Frank Bernhardt manakala selang tiga haru berikutnya mereka akan bertemua pasukan Negeri Sembilan FC yang dibimbing oleh K. Devan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Untuk makluman, sebelum memilih untuk menandatangani kontrak bersama Sri Pahang, Wague turut berada dalam radar sebuah lagi pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super iaitu Kuala Lumpur United FC.

Featured Image: MFL

komen