Written by 9:34 pm Bola Sepak, Malaysia

Pas Siaran Langsung RM25 Undang Reaksi Yang Pelbagai Kalangan Peminat TRW

Pelbagai reaksi yang diberikan oleh para peminat TRW Kelantan FC apabila pihak kelab mengumumkan harga pas untuk menonton siaran langsung melibatkan pasukan tersebut menentang Terengganu FC II dan Melaka United FC dalam aksi perlawanan persahabatan bernilai RM25 untuk setiap perlawanan.

Pengumuman harga tersebut dibuat menerusi hantaran di laman sosial meraka pada hari ini. Difahamkan, separuh daripada harga Pas Eksklusif Menonton Sambil Beramal itu akan disumbangkan ke Tabung Bantuan Covid-19 sekaligus memberikan peluang kepada para penyokong untuk menyaksikan perlawanan sambil menambah saham akhirat.

Hasil tinjauan di laman sosial rasmi milik pasukan berpangkalan di Kota Bharu tersebut, sebahagian peminat tiada masalah untuk mengeluarkan duit poket mereka lebih-lebih lagi dapat menonton untuk seisi keluarga.

“RM25 boleh tengok (untuk) sekeluarga. Murah sangat tu.” tulis Bikri Muhammad Yusof di ruangan komen.

“Saya rasa harga RM25 tu amat berbaloi, Boleh tengok sekeluarga (dengan) bayar RM25. Dapat juga membantu pengurusan dan dapat juga menderma. Tetapi kalau tengok sorang-sorang akan terasa (sedikit) mahal,” tambah Hairul Misnan pula.

Manakala sebahagian penyokong pula merasakan ianya satu harga yang agak mahal ditambah pula dengan keadaan ekonomi majoriti dikala pandemik Covid-19 ini turut mencengkam orang ramai.

“Buat RM10 jah. (Lebih) ramai boleh tengok (siaran langsung).” tulis Mohd Afif Mohd Sukri.

“Buatlah pakej lain yang lebih mesra ekonomi. Bukan tak nak menyumbang (tetapi) harap admin faham.” tulis Wan Nas pula.

Sementara itu, beberapa penyokong mengharapkan nilai RM25 yang dikeluarkan untuk membeli pas pay-per-view (PPV) berbaloi dan dapat disajikan dengan siaran langsung yang berkualiti.

Sebilangan kecil pula membandingkan harga RM25 tersebut dengan harga PPV berjumlah RM2.99 yang dijual oleh pihak Astro untuk perlawanan persahabatan di antara Selangor FC menentang KL United FC pada hujung minggu ini.

Sebagai tambahan, bagi peminat pasukan Terengganu FC II dan Melaka United FC yang mahu menonton siaran perlawanan persahabatan pramusim ini, anda juga perlu membeli pas ini daripada pasukan TRW Kelantan FC sebelum dimasukkan kedalam FB Group khas iaitu TRWtv.

Untuk makluman, skuad kendalian Marco Ragini dijadualkan menentang Terengganu FC II pada jam 4.45 petang esok, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Ia merupakan aksi perlawanan persahabatan pertama yang akan dihadapi oleh TRW Kelantan FC sebagai persiapan untuk mengharumgi saingan Liga Premier 2021 yang akan bermula pada awal mac kelak.

Selain daripada perlawanan ini, Kelantan FC turut dijadualkan bertemu skuad Liga Super, Melaka United FC kendalian Zainal Abidin Hassan dalam satu lagi siri perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat pada ahad nanti.

Featured Image: TRW Kelantan FC

(Visited 138 times, 1 visits today)
Close