Artikel

Selangor 2 Teruskan Fokus Menjadi ‘Kilang’ Untuk Skuad Utama

Selangor FC 2 mahu terus menjadi platform kepada pemain muda mengasah bakat mereka namun dalam masa sama tidak mahu menjadikan itu sebagai batu penghalang buat mereka yang turut mengidamkan pencapaian lebih baik berbanding musim lalu.

Ketua jurulatih Selangor 2, Michael Feichtenbeiner, cukup berpuas hati apabila melihat beberapa pemain pada musim lalu yang terdiri daripada Aliff Haiqal, Zikri Khalili, Danial Asri, Sharul Nazeem Zulpakar dan penjaga gol muda, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman bakal dinaikkan pangkat ke skuad utama Selangor FC.

Justeru, beliau mengharapkan kesinambungan berkenaan akan diteruskan pada musim ini dan mahu menjadikan Selangor 2 sebagai’ kilang’ penghasilan pemain utama Selangor.

Michael Feichtenbeiner

“Fokus utama kami masih kekal seperti musim lalu iaitu membentuk bakat muda Selangor agar mereka bersedia untuk beraksi dengan pasukan utama dengan musim ini enam orang pemain telah diserap masuk ke Selangor FC.

“Kedudukan musim lalu (tempat ke-7) adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana mampu dihormati oleh pasukan lain walaupun itu bukan menjadi perhatian utama saya serta pasukan.

“Saya harap dapat meneruskan legasi ini dan gembira kerana apa yang kami rancang buat masa ini, berjalan seperti yang kami mahukan dan harap musim 2022, kami akan melihat lebih ramai bintang muda mampu dihasilkan,” katanya.

Duo pemain import Selangor 2 kelahiran Ghana. – Foto: Selangor FC
Pemain kelahiran Myanmar, Hein Htet Aung – Foto: Selangor FC

Selangor 2 akan menggunakan tiga pemain import musim ini yang juga merupakan dua pemain muda iaitu dua dari Ghana, Jordan Ayimbila, 20 tahun dan George Attram, 21 tahun selain Hein Htet Aung (20 tahun) dari Myanmar.

Bekas pemain kebangsaan Bawah-19 tahun, Shivan Pillay Asokan antara watak utama yang akan terus mendokong Selangor 2 selain Muhd Firdaus Irman, Syazwan Salihin, Aqil Fadhly dan Iqmal Ramlan.

Dalam pada itu, Feichtenbeiner mahu pemain-pemain muda Selangor 2 sentiasa mempunyai semangat untuk menang dalam tiap perlawanan yang mereka lalui dan tidak akan memberi laluan mudah buat pasukan lain di persaingan Liga Premier.

“Pada setiap perlawanan, saya akan sentiasa tekankan pemain agar ada mentaliti untuk menang biarpun saya tahu itu tidak akan selalu terjadi kerana kita bukannya serba lengkap yang boleh meraih tiga mata dengan mudah.

“Tiap perlawanan umpama satu pembelajaran buat mereka dan jika menang, itu satu bonus buat kami namun saya berasakan Selangor 2 mampu menamatkan musim ini lebih baik di saingan Liga Premier,” katanya.

Featured Image: Selangor FC

komen