Artikel

Sudikah Warga Kelantan di Lembah Klang Jadikan KL United Sebagai ‘Second Club’?

Pasukan yang baru sahaja dinaikkan pangkat ke saingan Liga Super, Kuala Lumpur United (KL United) giat melakukan pelbagai pembaharuan terutamanya melibatkan barisan pengurusan, barisan kejurulatihan serta barisan pemain-pemain untuk mengharungi saingan musim baharu yang akan bermula pada hujung minggu ini.

Terbaharu, pasukan yang dikemudi oleh bekas pemain dan pengulas bola sepak tanah air, Stanley Bernard telah mengumumkan melantik bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa merangkap Menteri Wilayah Persekutuan sebagai Presiden ‘The Patron’ KL United.

Selain itu, mereka turut mendapatkan khidmat bekas ketua jurulatih Kelantan musim 2012-2013, Bojan Hodak serta mengekalkan khidmat penyerang berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin yang juga tidak asing dengan skuad Sang Kijang suatu masa dahulu.

Mengulas mengenai perlantikan Annuar Musa sebagai presiden dan penaung skuad ibu kota ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Stanley menggambarkan Annuar sebagai seorang yang kaya pengalaman, memahami asam garam bola sepak tempatan serta pernah mengecapi kejayaan gemilang bersama Kelantan.

Justeru, KL United mengambil peluang dengan melantik Annuar bagi memberikan ‘tunjuk ajar’ serta nasihat dalam membentuk skuad ibu kota yang serba baharu ini dalam menetapkan visi, misi, hala tuju dan memastikan kelab yang telah diswastakan ini berada dalam landasan yang tepat.

Sebagai tambahan, kehadiran tokoh seperti Annuar serta kelibat ketua jurulatih, Bojan bersama pemain berpengalaman, Indra yang cukup sinonim dengan pasukan Kelantan suatu masa dahulu mungkin dapat menjadi tarikan buat warga Kelantan di Lembah Klang untuk menjadikan KL United sebagai kelab bola sepak kedua mereka.

“Mungkin kita boleh menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘my second home’ untuk warga Kelantan yang bekerja dan telah bermastautin di Kuala Lumpur, mereka boleh menjadikan KL United sebagai ‘second club’ kerana mereka sudah berpindah ke Kuala Lumpur.”

“Ikon-ikon (seperti Annuar Musa, Bojan Hodak dan Indra Putra) mungkin itu boleh menjadi (salah) satu kita punya ‘blueprint’ dan itu (juga) mungkin sesuatu yang mahu dilakukan oleh Tan Sri sendiri untuk menarik mereka menyokong KL United (dengan) datang ke stadium dan berminat kepada KL United yang sedang melakukan sesuatu yang baik.” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz, hari ini.

Sementara itu, Stanley turut berkongsikan kehadiran Annuar juga untuk memastikan kelab mempunyai haluan yang sama bersama-sama Bandaraya Kuala Lumpur dalam usaha untuk menjadikannya sebagai sebuah tempat yang paling menarik untuk dikunjungi menerusi kelab bola sepak KL United.

“Saya melihat, kita boleh mengkomersilkan Bandaraya Kuala Lumpur melalui kelab bola sepak, sama seperti Real Madrid (di Madrid) dan New York Red Bulls (di New York) iaitu merupakan bandar besar (yang juga merupakan ibu kota Sepanyol dan Amerika Syarikat),” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Annuar memimpin Kelantan bermula daripada tahun 2009 sehingga 2016 dan kejayaan terbaiknya hadir pada tahun 2012 apabila skuad berpangkalan di pantai timur yang dibimbing oleh Bojan itu berjaya meraih kejayaan ‘treble’ dengan menjulang kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Featured Image: Kuala Lumpur United

komen