Written by 7:15 pm Bola Sepak, Malaysia

Terengganu FC ‘Tempang’ Bertemu UiTM FC, Bakal Beraksi Dengan 4 Pemain Import

Skuad pantai timur, Terengganu FC dilihat sedikit tempang menjelang aksi pembukaan Liga Super 2021 menentang UiTM FC apabila salah seorang pemain importnya ditimpa kecederaan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pengurus pasukan, Zulfadli Rozi. Justeru, beliau membayangkan Terengganu FC bakal menggunakan khidmat empat pemain import sahaja apabila turun menghadapi skuad bimbingan Frank Bernhardt di Stadium UiTM, Shah Alam pada sabtu ini.

“Seorang pemain import kami mengalami kecederaan, untuk perlawanan pertama ini (menentang UiTM FC), mungkin kita terpaksa bermain dengan empat pemain import (sahaja),” jelasnya tanpa mendedahkan nama pemain yang ditimpa kecederaan tersebut ketika dihubungi oleh Sukanz, hari ini.

Pengurus pasukan, Zulfadli Rozi bersama ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan barisan kejurulatihan Terengganu FC 2021.

Untuk makluman, Terengganu FC yang dibimbing oleh jurulatih muda, Nafuzi Zain telah mendapatkan lima pemain import baharu dalam usahanya untuk memberikan saingan dalam kancah Liga Malaysia musim ini.

Antara nama-nama yang dibawa masuk ialah pemain tengah Petrus Shitembi (Namibia), pertahanan Carli de Murga (Filipina), pemain tengah bertahan Christopher Herd (Australia), penyerang David da Silva (Brazil) serta pemain tengah menyerang Makan Konate (Mali).

Bagaimanapun, beliau turut menambah, kalangan pemain lain menunjukkan persaingan yang tinggi untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan ianya dilihat sangat menguntungkan barisan kejurulatihan Terengganu FC bagi membentuk kesebelasan yang terkuat.

Pada masa yang sama, Nafuzi turut dilihat sudah mempunyai bayangan kesebelasan utamanya namun perkara ini tidak bermakna pasukannya memandang rendah akan keupayaan UiTM FC yang menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-6 Liga Super.

Aksi UiTM FC dan Terengganu FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada tahun lalu.

“Untuk perlawanan pembukaan ini semua pasukan mahukan tiga mata, dengan jadual yang padat, kita juga mahu mengambil peluang untuk dapatkan mata semaksimum yang mungkin sebelum rehat dua minggu kelak,

“Tetapi bukan bermakna lawan UiTM FC ini satu tugas yang mudah, ini satu tugas yang sukar kerana kita ada rekod yang kurang memuaskan ketika berhadapan UiTM FC di gelanggang lawan.” katanya lagi.

Sebagai rekod, Terengganu FC pernah bertemu UiTM FC sebanyak tiga kali sejak daripada tahun 2017 yang lalu. Daripada tiga pertemuan terbabit, Terengganu FC tewas kedua-dua aksi saingan liga yang berlangsung pada tahun 2017 dan 2020 di Stadium UiTM.

Terengganu FC hanya merekodkan satu kemenangan dan itupun di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ketika aksi Liga Super pada tahun lalu.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 1,351 times, 3 visits today)
Close