Written by 5:57 pm Bola Sepak, Malaysia

Mora Pertaruhkan Penjaring Terbanyak 2019, Rodriguez Bertemu Kedah?

Penjaring terbanyak saingan Liga Malaysia 2019, Fernando Rodriguez menjadi salah satu taruhan Benjamin Mora mengisi posisi penyerang Johor Darul Ta’zim ketika perlawanan menentang Kedah Darul Aman (Kedah) dalam saingan Piala Sumbangsih 2021.

Dua tahun lalu, Rodriguez yang merupakan bekas penyerang pasukan Kedah menggegarkan saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dengan merekodkan 21 gol secara keseluruhan. Ia sekaligus membolehkannya merangkul Anugerah Kasut Emas pada tahun tersebut.

Ketika ini, Rodriguez merupakan penyerang buat skuad simpanan, JDT II namun ketua jurulatih JDT, Mora tidak mempunyai masalah untuk membariskannya dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, pada hari esok sekiranya diperlukan.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora – Foto: JOHOR Southern Tigers

“Kita akan lihat, itu merupakan salah satu pilihan,” katanya semasa sidang media praperlawanan, pada hari ini.

“Fernando merupakan pemain terbaik dalam (saingan) Liga Super sebelum ini, dan dia juga merupakan pemain terbaik dalam pasukan JDT II pada tahun lalu.”

“Kami juga menggunakan (khidmatnya) dalam perlawanan tahun lalu dimana dia menjaringkan gol dan bermain dengan baik, dan (perlawanan) esok boleh jadi hari untuk dia membantu kami,” jelasnya lagi.

Syafiq Ahmad – Foto: JOHOR Southern Tigers

Sementara itu, jurulatih kelahiran Mexico ini tidak menumpukan perhatian kepada Rodriguez semata-mata. Beliau turut mempunyai pilihan lain di posisi serangan seperti Hazwan Bakri dan Syafiq Ahmad.

Ketiga-tiga penyerang ini berupaya untuk menggantikan Jonathan Herrera yang dilepaskan oleh JDT ke kelab Argentina, Club Atletico Independiente secara pinjaman dengan tawaran membelinya secara tetap.

“Tetapi kami juga mempunyai penyerang yang baik seperti Hazwan Bakri yang begitu tajam dan Syafiq Ahmad yang telah kembali berlatih bersama kami.” tambahnya lagi.

Sementara itu, skuad Harimau Selatan telah mengumumkan mendapatkan penyerang baharu iaitu Bergson da Silva daripada pasukan yang beraksi dalam kancah Serie A Brazil, Fortaleza. 

Bagaimanapun, difahamkan, penyerang berusia 30 tahun itu belum menyertai sesi latihan bersama pasukan kerana perlu menjalani kuarantin ekoran baru sahaja tiba di sini.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 59 times, 1 visits today)
Close