Written by 3:54 pm Bola Sepak, Malaysia

Terpaksa Lupakan Shitembi, Terengganu Ikat Kembali Dechi Marcel Saat Akhir

Pasukan berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC mengesahkan terpaksa melupakan khidmat pemain import baharunya, Petrus Shitembi untuk beberapa aksi awal saingan Liga Super musim ini.

Difahamkan, kecederaan tersebut menimpa pemain skuad kebangsaan Namibia ini selepas daripada perlawanan persahabatan menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, ahad lalu.

“Shitembi yang mengalami kecederaan semasa aksi persediaan pramusim akan menjalani pemeriksaan seterusnya di Kuala Lumpur untuk mengesahkan kecederaan yang dialami pada hari ini.” demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab.

Petrus Shitembi – Foto: Terengganu FC

Kecederaan menimpa pemain tengah berusia 28 tahun ini sedikit sebanyak merencatkan perancangan pasukan yang dibimbing oleh jurulatih muda, Nafuzi Zain. Hal ini kerana Shitembi telah menjadi penggerak utama pasukan sepanjang aksi pramusim kali ini.

Sebagai perancangan jangka masa terdekat, skuad simpanan, Terengganu FC II bertindak menandatangani kembali bekas pemain tengahnya musim lalu, Dechi Marcel N’Guessan sebelum tamatnya jendela perpindahan, pada tengah malam ini.

Pada masa yang sama, barisan kejurulatihan dengan segera menaikkan pangkatnya ke skuad utama, Terengganu FC bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Shitembi.

Namun, pemain tengah Ivory Coast ini belum pasti dapat diturunkan pada aksi pembukaan menentang UiTM FC memandangkan dia baru sahaja menyertai latihan bersama pasukan, semalam.

“Pasukan TFC mempunyai pilihan untuk menggunakan khidmat pemain import tengah pasukan Terengganu FC II, Dechi Marcel N’Guessan yang baru ditandatangani semalam bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan Petrus Shitembi buat sementara waktu, 

“Namun perkara itu belum diputuskan bagi aksi awal musim ini kerana Dechi Marcel baru sahaja memulakan latihan bersama Terengganu FC pada petang semalam.” tambah kenyataan kelab lagi.

Untuk rekod, Dechi Marcel telah beraksi bersama Terengganu FC II sejak daripada musim 2019. Bagaimanapun, khidmatnya tidak disambung pada penghujung tahun lalu setelah Terengganu FC II berhasrat menggunakan khidmat tiga pemain import sahaja iaitu Argzim Redzovic, Jordan Mintah dan Masaki Watanabe.

Featured Image: Terengganu Football Club

(Visited 395 times, 1 visits today)
Close