Artikel

Hakimi Pemain Laju, Kuat & Mempunyai Tendangan Yang Padu

Pada jendela perpindahan sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia 2021, Terengganu FC membuat keputusan untuk menandatangani beberapa orang pemain muda berbakat.

Salah seorang daripadanya adalah penyerang berkaki kidal, Mohamad Hakimi Abdullah yang beraksi bersama skuad Liga Premier, Kelantan, pada tahun lalu.

Dalam aksi pembukaan Liga Super, pemain berusia 21 tahun ini dimasukkan sebagai pemain gantian untuk mengisi posisi ‘flank’ kiri oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain ketika Terengganu ketinggalan kepada pasukan tuan rumah, UiTM FC.

Percaturan Nafuzi nyata membuahkan hasil apabila kehadiran Hakimi memberikan ancaman kepada barisan pertahanan UiTM di bahagian kiri. Dia berjaya mencetak gol kemenangan dengan penuh bergaya menerusi satu rembatan kencang kaki kirinya di minit-minit akhir.

“Hakimi merupakan pemain yang mempunyai kelajuan, kekuatan dan tendangan yang padu tetapi masih banyak yang perlu dipertingkatkan,” ujarnya sambil berkongsikan kemasukan Hakimi kerana mahukan pasukannya mempunyai lebih ‘pace’ ketika melakukan serangan.

Ternyata Nafuzi amat gembira dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain muda kelahiran Kelantan ini namun beliau melihat Hakimi perlu memburu lebih banyak minit permainan selain daripada meningkatkan lagi kemampuan diri.

“Hakimi ni masih pemain yang muda, memerlukan lebih banyak pengalaman, untuk dapatkan pengalaman, awak perlu lebih minit permainan. Jadi, setiap pemain akan mendapat peluang (untuk bermain),” tambahnya lagi.

Faisal Halim, Hakimi Abdullah dan Nik Akif

Untuk rekod, selain daripada Hakimi, Terengganu turut menandatangani pemain tengah Nik Akif Syahiran, pertahanan Shahrul Nizam dan pemain sayap lincah Faisal Halim dimana kesemuanya berumur di bawah 24 tahun.

Pada masa yang sama, mereka turut menaikkan pangkat beberapa pemain muda daripada pasukan simpanan, Terengganu II dan pasukan pembangunan bawah umur, Terengganu III. 

Antaranya penyerang Isa Raman, pemain tengah menyerang Engku Nur Shakir, pertahanan Alif Zakaria dan penjaga gol Syed Nasrulhaq.

Featured Image: Terengganu Football Club

komen