Written by 1:21 pm Bola Sepak, Malaysia

Konate & Faiz Nasir Pemain Yang Berbahaya, kata Karsten

Kehebatan dua pemain Terengganu Football Club (TFC), Makan Konate dan Faiz Nasir nampaknya diberi perhatian khusus oleh ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel menjelang pertemuan kedua-dua pasukan yang akan berlangsung, pada malam ini.

Karsten yang merupakan kelahiran Dresden, Jerman memuji kedua-dua pemain tengah tersebut sebagai pemain yang memiliki kelebihan individual yang sangat teknikal serta berbahaya di atas padang.

Dalam perlawanan menentang UiTM FC, Konate mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan dengan menghasilkan dua ‘assist’ sekaligus menginspirasikan kemenangan 2-1 buat TFC dalam aksi pembukaan Liga Super 2021, baru-baru ini.

Makan Konate ketika sesi latihan sebelum menentang Selangor FC – Foto: Terengganu FC

“TFC merupakan pasukan yang bermain dengan banyak bertukar-tukar hantaran untuk mencipta peluang gol dan mereka juga mempunyai pemain individual yang sangat teknikal dan merbahaya seperti Makan Konate dan bekas pemain Selangor, Faiz Nasir.

“Saya suka gaya permainan mereka. Secara keseluruhannya, TFC mempunyai koleksi barisan pemain yang menarik,” kata Karsten dalam satu kenyataan hari ini.

Karsten Neitzel ketika memerhatikan sesi latihan pasukannya, semalam – Foto: Selangor FC

Sementara itu, Karsten menyatakan Selangor FC telah melakukan persiapan yang lengkap untuk bertemu TFC. Malahan, motivasi kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang, tiga hari lalu turut menjadi bekalan mereka menjelang pertemuan yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Pemain Selangor FC telah menjalani sesi pemulihan terlebih dahulu selepas perlawanan Sabtu lalu, bagi saya ini merupakan proses yang sangat penting dalam persiapan singkat kami untuk aksi seterusnya menentang TFC. Mereka juga telah menjalani sesi video individual dan taktikal untuk perlawanan malam ini,”

“Saya dan barisan jurulatih telah melihat dan menilai para pemain di setiap sesi latihan, sebelum, semasa dan selepas perlawanan menentang Sri Pahang FC minggu lalu.

“Saya yakin mereka mempunyai tahap motivasi yang tinggi dalam pasukan dan diri sendiri untuk mendapatkan 3 mata seterusnya,” katanya lagi.

Untuk makluman, The Red Giants turut memaklumkan empat pemain tidak dapat disenaraikan untuk perlawanan ini kerana mengalami kecederaan. Mereka ialah Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), K. Sarkunan (kekejangan lutut), Brendan Gan (buku lali) dan R. Dinesh (hamstring kiri).

Featured Image: Terengganu FC & Selangor FC

(Visited 319 times, 1 visits today)
Close