Artikel

Makan Konate: Lupakan Kemenangan Ini, Fokus Lawan Pasukan Perak

Pemain tengah Terengganu FC, Makan Konate mengajak rakan sepasukannya agar melupakan kemenangan menentang Selangor FC pada aksi kedua Liga Super, semalam.

Menurutnya, tumpuan penuh harus diberikan untuk perlawanan seterusnya menentang Perak FC di laman lawan, Stadium Perak pada ahad kelak.

Konate yang melengkapkan perpindahan menyertai Terengganu daripada Persebaya Surabaya pada awal tahun tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan impak kepada pasukan.

Sejak perlawanan pertama bertemu UiTM FC, pemain kelahiran Mali ini telah memberikan dua bantuan gol kepada rakan sepasukan menginspirasikan ‘comeback’ untuk mencatatkan kemenangan 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam. 

Aksi Makan Konate ketika bertemu UiTM FC

Dalam perlawanan kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam, Konate sekali lagi menunjukkan magisnya dengan menghasilkan satu ‘assist’.

Dia turut terlibat selaku ‘arkitek’ dalam merancang dua lagi serangan Terengganu sekaligus membantu pasukannya mencatatkan kemenangan bergaya dengan keputusan 3-1 ke atas skuad Red Giants.

“Lupakan (perlawanan) ini, kita sudah menang, kita fokus di perlawanan (seterusnya) di tempat lawan menentang Perak, pasukan yang kuat,”

“Perlawanan itu tak mudah tetapi kita opportunis, bisa cari tiga mata di sana juga,” katanya yang kini mengumpul 3 bantuan gol dalam sidang media selepas perlawanan.

Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan kesyukuran kerana Terengganu berjaya mencatatkan dua kemenangan berturut-turut. 

Konate sempat mengungkapkan mengenai kepercayaan dan peluang yang diberikan oleh ketua jurulatih, Nafuz Zain untuk membarisi kesebelasan utama kepada dirinya dan rakan-rakan. 

Nafuzi Zain – Foto: Terengganu FC

Sementara itu, Nafuzi memaklumkan akan mula menilai dan menyenaraikan pemain-pemain yang cergas sepenuhnya untuk dibawa bagi menentang Perak pada hari esok memandangkan beliau memberikan ‘cuti’ kepada para pemainnya, hari ini. 

Di kesempatan yang sama, pengendali berusia 42 tahun ini turut menjangkakan dua pemain importnya iaitu David da Silva dan Chris Herd masih memerlukan masa sebelum kembali pulih sepenuhnya dan berkemungkinan tidak akan dibawa untuk aksi menentang Perak.

Featured Image: Terengganu Football Club

komen