Artikel

9 Pemain Import Liga Malaysia Yang Boleh Dinaturalisasikan Pada Tahun 2021

Sekurang-kurangnya sembilan pemain import yang boleh dimasukkan dalam senarai untuk dinaturalisasikan sekaligus membolehkan mana-mana pemain ini bermain dalam saingan domestik selaku pemain tempatan.

Selain daripada status pemain tempatan, pemain-pemain yang telah dinaturalisasikan turut berpeluang untuk dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Salah satu kriteria yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pemain yang mahu dinaturalisasikan mestilah beraksi di negara tersebut minimum selama lima tahun berturut-turut.

Antara kriteria lain, mana-mana pemain yang ingin dinaturalisasikan juga mestilah kalangan belum membuat penampilan senior bersama skuad kebangsaan negara kelahirannya dalam perlawanan kompetitif.

Berdasarkan kepada dua kriteria yang dinyatakan di atas, kami berhasil menyenaraikan sembilan pemain yang boleh dinaturalisasikan pada tahun ini. Senarainya adalah seperti berikut:

#1 Gonzalo Cabrera 

Kelab: Johor Darul Ta’zim

Umur: 32 Tahun

Posisi: Pemain Sayap

Negara Asal: Argentina

Pemain sayap, Gonzalo Cabrera telah menabur bakti bersama JDT sejak awal musim 2017. Tahun ini menjadi tahun kelimanya beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Merupakan seorang pemain yang lincah, pantas dan mempunyai naluri yang tinggi untuk menjaringkan gol, maka tidak hairanlah Cabrera merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak buat skuad Harimau Selatan setakat ini. Untuk makluman, nama Cabrera bertiup kencang sebagai salah seorang pemain yang akan dinaturalisasikan sejak dari tahun lalu lagi.

#2 Tchetche Kipre

Kelab: Kedah Darul Aman

Umur: 33 Tahun

Posisi: Penyerang

Negara Asal: Ivory Coast

Dengan hanya berketinggian sekitar 1.72 meter, aspek ketinggian sememangnya bukanlah aset terbaik dimiliki oleh penyerang Ivory Coast, Tchetche Kipre. Tetapi Tchetche meletakkan namanya selaku salah seorang penggempur berbisa dalam saingan Liga Malaysia menerusi gelecekannya, kepantasannya dan ketajamannya untuk menjaringkan gol. 

Mula menyertai pasukan Terengganu pada jendela perpindahan kedua musim 2017 dan musim 2018 menjadi musim terbaiknya apabila menggegarkan pentas Liga Super dengan rekod 14 gol selain mencetak 9 gol dalam saingan Piala Malaysia 2018. Tahun ini bakal menjadi tahun kelimanya beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan namanya boleh disenaraikan untuk dinaturalisasikan memandangkan beliau belum pernah tampil bersama skuad kebangsaaan negaranya.

#3 Dechi Marcel N’Guessan

Kelab: Terengganu II / Terengganu

Umur: 29 Tahun

Posisi: Pemain Tengah

Negara Asal: Ivory Coast

Seorang pemain yang ‘low profile’ dan sebelum ini, namanya tidak begitu terkenal dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Namun sejak diberikan peluang untuk bermain bersama skuad utama Terengganu pada dua perlawanan Liga Super musim ini, nama Dechi Marcel tiba-tiba ‘meletup’ dan mula menarik perhatian ramai.

Diberikan nama timangan ‘Kante’ dek kerana kerajinannya dan seringkali menggalas tugas selaku ‘box-to-box midfielder’ yang memerlukan beliau naik dan turun sepanjang 90 minit permainan. Mula beraksi bersama UiTM FC pada tahun 2017 yang lalu, dan pada tahun 2019 beliau diikat oleh Terengganu II. 

Tahun ini merupakan tahun kelimanya dalam saingan domestik dan adakah satu perkembangan yang baik buat bola sepak Malaysia sekiranya beliau dinaturalisasikan?

#4 Lee Tuck

Kelab: Sri Pahang

Umur: 32 Tahun

Posisi: Pemain Tengah

Negara Asal: England

Mula merasai kancah bola sepak tempatan bersama pasukan Liga Premier, Negeri Sembilan pada tahun 2017, Lee Tuck kemudiannya dipancing khidmatnya oleh Terengganu yang dinaikkan pangkat ke saingan Liga Super 2018.

Sejak bermain bersama pasukan berpangkalan di pantai timur tersebut,  Lee Tuck kerap mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan menerusi ‘work rate’ yang tinggi serta kepimpinannya di atas padang. Selain Cabrera, pemain kelahiran Halifax ini antara nama yang bertiup kuat bakal dinaturalisasikan pada tahun ini.

#5 Paulo Josue


Kelab: Kuala Lumpur City

Umur: 32 Tahun

Posisi: Pemain Tengah

Negara Asal: Brazil

Sang Setia! Itu sahaja yang boleh diungkapkan mengenai kelibat Paulo Josue. Pemain tengah ini mula menyertai pasukan Kuala Lumpur pada tahun 2017 dan beliau kekal bersama pasukan sehingga kini walaupun pasukannya pernah terhumban ke saingan Liga Premier pada tahun 2020.

Menjadi nadi tengah Kuala Lumpur sejak sekian lama dan antara kepakarannya di atas padang adalah melakukan lorongan cantik kepada rakan sepasukan untuk menjaringkan gol serta menjaringkan gol daripada situasi bola mati. 

#6 Leandro dos Santos

Kelab: Perak

Umur: 34 Tahun

Posisi: Pemain Tengah

Negara Asal: Brazil

Dalam sedar dan tidak sedar, pemain yang sinonim dengan gaya permainan yang keras, sering ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja kotor dan mengacau mental pemain-pemain lawan, Leandro sudah memasuki tahun kelimanya beraksi bersama Perak.

Sebelum daripada itu, Leandro pernah beraksi bersama Selangor dan T-Team FC masing-masing pada tahun 2015 dan 2014.

#7 Sergio Ezequiel Aguero

Kelab: Perak II / Perak (dipinjamkan oleh Sri Pahang)

Umur: 26 Tahun

Posisi: Pemain Tengah Menyerang

Negara Asal: Argentina

Berkongsi nama dan negara kelahiran yang sama, namun pemain ini bukanlah Sergio Aguero si penyerang yang menjaringkan gol ke atas Queens Park Rangers pada masa kecederaan sekaligus memberikan Manchester City kejuaraan Premier League buat kali pertama pada musim 2011/12.

Aguero yang bermain bersama Perak II dan Perak ini merupakan seorang pemain tengah menyerang. Beliau tiba di bumi Malaysia pada tahun 2017 dengan menyertai Melaka United. Dia kemudiaannya menyertai Selangor United (2018), Pulau Pinang (2019), KL Rovers (2020) dan Sri Pahang (2021) sebelum dipinjamkan kepada Perak.

#8 Bruno Suzuki

Kelab: PDRM FC

Umur: 30 Tahun

Posisi: Penyerang Kedua

Negara Asal: Brazil

Pemain yang mempunyai latar belakang yang unik! Bruno merupakan pemain kelahiran Brazil namun dibesarkan di negara matahari terbit, Jepun. Selain itu, ibunya merupakan keturunan Jpeun dan Bruno sendiri turut memiliki passport Jepun.

Mula berkelana dalam saingan bola sepak tempatan bersama Negeri Sembilan pada tahun 2017 sebelum menyertai Terengganu II pada tahun berikutnya. Musim ini, penyerang berusia 30 tahun ini menyertai skuad The Cops sekaligus bakal melebarkan tempoh pengalamannya beraksi di Malaysia kepada lima tahun.

#9 Nicolas Fernandez

Kelab: JDT II

Umur: 34 Tahun

Posisi: Pemain Tengah

Negara Asal: Argentina

Sedar atau tidak Nicolas Fernandez atau lebih dikenali sebagai Nico antara pemain import yang lama beraksi bersama pasukan berstatus feeder club, JDT II. Beliau mula menjejakkan kaki ke Malaysia pada tahun 2017 untuk beraksi dalam saingan Liga Premier.

Mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan liga sekitar eropah, Nico sering mengisi posisi pemain tengah menyerang dan penyerang telah lama menjadi panduan dan memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan pemain-pemain di JDT II.

komen