Written by 9:47 am Bola Sepak, Malaysia

Nafuzi Zain Tidak Berminat Cabar Johor Darul Ta’zim

Masih terlalu awal untuk membicarakan samada skuad berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC mampu mencabar hegemoni Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super.

Pada masa yang sama, ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain langsung tidak berminat untuk mengulas mengenai kemampuan pasukannya mencabar JDT walaupun telah meraih tiga kemenangan dalam tiga aksi awal liga, musim ini.

Jurulatih muda berusia 42 tahun ini melihat saingan ini masih panjang dan beliau mahu anak-anak buahnya menumpukan perhatian penuh kepada persiapan untuk mengharungi perlawanan demi perlawanan seperti yang dijadualkan.

Nafuzi Zain – Foto: Terengganu Football Club

“Tiga perlawanan (tanpa kalah) bagi saya terlalu awal, kita masih ada (baki) 19 perlawanan lagi,”

“Kita bukannya mahu bersaing dengan JDT, apa yang penting kita fokus kepada persiapan perlawanan demi perlawanan, tiga perlawanan sudah selesai, Alhamdulillah, (kita) fokus kepada perlawanan seterusnya,”

“Akhir sekali, kita akan melihat kedudukan (Terengganu FC) di bulan ogos untuk mengetahui (samada) pasukan kita bagus atau tidak, kalau berada di tangga teratas maknanya pasukan kita bagus.” katanya selepas daripada perlawanan menentang Perak di Ipoh, malam tadi.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Terengganu berhasil menumpaskan pasukan tuan rumah dengan keputusan 2-0 hasil jaringan pemain sayap lincah, Faisal Halim dan pemain tengah yang tidak mengenal erti penat lelah, Dechi Marcel N’Guessan masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua.

Kemenangan ini membolehkan Terengganu  menghuni tangga kedua liga dan berkongsi 9 mata dengan pendahulu, skuad Harimau Selatan yang turut merekodkan 100% kemenangan pada tiga perlawanan liga.

Aksi seterusnya, skuad kendalian Nafuzi ini bakal menerima kunjungan Melaka United di halaman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan sepak mula dijadualkan pada hari rabu.

Featured Image: Terengganu Football Club

(Visited 288 times, 1 visits today)
Close