Written by 5:26 pm Bola Sepak, Malaysia

Arif Aiman Sedang Menempa Nama Selaku Salah Seorang Pemain Terbaik Malaysia

Persembahan pemain sayap muda, Arif Aiman dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika menentang Selangor dalam aksi keempat Liga Super, mendapat pujian ramai peminat bola sepak tempatan.

Pujian turut dilontarkan oleh ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora sambil melihat pemain berusia 18 tahun itu sedang berada di landasan yang tepat untuk menjadi salah seorang pemain terbaik di Malaysia.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, semalam, Arif mencuri tumpuan dengan menampilkan kerajinannya, kawalan bola yang baik dan kelincahannya untuk membelah barisan pertahanan Red Giants.

Hasil kerja kerasnya di dalam perlawanan tersebut, dua gerakan lincah dilakukan oleh Arif berhasil menghadiahkan dua sepakan penalti kepada pasukannya. 

“Saya fikir dia baru 18 tahun, apa yang dilakukannya semalam sangat penting buat kariernya, dia menyumbang dua penalti dan melakukan tugas dengan baik dan tidak mudah hilang bola, dia banyak turun membantu ketika pasukan bertahan,”

“Dia merupakan seorang pemain yang lengkap dan pintar, dia dalam perjalanan untuk menjadi salah seorang pemain terbaik di Malaysia, ketika ini dia masih belajar, memahami permainan dan memahami dirinya sendiri,” kata jurulatih kelahiran Mexico itu selepas daripada perlawanan.

Untuk makluman, pemain kelahiran Pahang ini mendapat peluang bermula daripada kesebelasan utama skuad Harimau Selatan setelah pemain utama, Safawi Rasid terpaksa diketepikan untuk seketika waktu kerana ditimpa kecederaan semasa perlawanan menentang UiTM FC, hujung minggu lalu.

Bercakap mengenai peluang untuk Arif bermain setelah Safawi kembali pulih kelak, Benjamin berkata, “Arif layak untuk terus mendapat peluang bermain bersama JDT kerana dia telah menunjukkan persembahan yang baik di atas padang apabila diberikan peluang.”

“Apabila Safawi pulih, Arif mempunyai peluang untuk masuk sebagai pemain gantian, bermula dalam kesebelasan utama dalam satu atau dua perlawanan, kami belum tahu tetapi sudah tentu (mempunyai peluang).” tambahnya lagi.

Selain itu, jurulatih kelahiran Mexico turut menegaskan saingan musim ini baru sahaja bermula dan tidak mungkin dia dapat menurunkan kesemua pemainnya di dalam empat perlawanan yang telah berlangsung.

Justeru, bukan sahaja Arif, malahan Mohamadou Sumareh, Ramadhan Saifullah dan semua pemain akan mendapat peluang disamping Benjamin juga akan melakukan pertukaran pemain apabila perlu.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 301 times, 1 visits today)
Close