Written by 12:49 pm Asia, Bola Sepak

Kelab Berpangkalan di Brunei, DPMM FC sertai Liga Super 2022?

Adakah kita bakal menyaksikan pasukan berpangkalan di Brunei iaitu Duli Pengiran Muda Mahkota Football Club (DPMM FC) bakal menyertai saingan Liga Super 2022 kelak?

Ketika sesi tanya dan jawab (QnA) dilakukan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim di laman sosial Instagram baginda semalam, salah seorang pengikut melontarkan soalan berkenaan penyertaan kelab tersebut dalam saingan tempatan.

Tangkap layar daripada akaun @hrhcrownprinceofjohor

“Bolehkah anda membantu pasukan Brunei, DPMM FC untuk menyertai saingan Liga Super Malaysia secara terus pada musim berikutnya?” tulis salah seorang pengikut laman sosial @hrhcrownprinceofjohor.

Baginda yang merupakan pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya membalas pendek persoalan yang dilontarkan tersebut dengan ungkapan, “Insha’Allah.”

Menarik untuk disaksikan, sejauh manakah TMJ yang juga merupakan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi Malaysian Football League (MFL) akan membantu kelab yang dipengerusikan oleh Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk menyertai saingan Liga Super 2022?

Untuk rekod, DPMM FC pernah mewarnai saingan Liga Malaysia suatu masa dahulu sekitar tahun 2005 hingga tahun 2008. Selepas daripada itu, mereka menyertai saingan Liga Singapura.

Antara pencapaian terbaik mereka dalam saingan negara seberang tambak hadir pada tahun 2019 apabila mara ke pentas separuh akhir saingan Singapore Cup dan menempa kejuaraan Singapore Premier League (SPL).

Tahun 2020 menyaksikan mereka hanya sempat bermain satu perlawanan sahaja dalam saingan Liga Singapura sebelum diarahkan tidak dibenarkan merentas keluar negara kerana pandemik Covid-19.

Kekangan merentas keluar daripada negara kekal pada tahun ini dan menyebabkan mereka tidak mengambil bahagian sama sekali dalam saingan Liga Singapore pada musim ini.

Featured Image: DPMM FC

(Visited 254 times, 1 visits today)
Close