Artikel

5 Perkara Menarik Mengenai Lee Zii Jia Yang Perlu Anda Tahu

Jaguh badminton muda, Lee Zii Jia pantas mencuri tumpuan rakyat Malaysia selepas berjaya menumpaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen sekaligus dinobatkan sebagai juara perseorangan lelaki kejohanan All England 2021.

Tidak seperti legenda badminton negara, Lee Chong Wei yang sudah dikenali ramai dek kelicikannya di dalam gelanggang dan deretan kejuaraan peringkat antarabangsa sehingga bergelar pemain badminton No.1 dunia, nama atlet yang bakal menjengah usia 23 tahun dalam beberapa hari lagi sedikit asing buat orang ramai.

Di sini, kami menyenaraikan lima perkara menarik mengenai bintang dunia dalam pembikinan, Lee Zii Jia khas untuk tatapan pembaca laman sesawang Sukanz:

#1 Minat Terhadap Badminton Dipupuk Oleh Bapanya

Bapa kepada Zii Jia menjadi insan yang bertanggungjawab memupuk minatnya dalam sukan bulu tangkis ini. Ianya bermula ketika Zii Jia berusia 6 tahun, bapanya membawa Zii Jia menyertai salah sebuah kelab badminton di bandar kelahirannya. Bermula dengan bermain untuk sekadar mengeluarkan peluh dan berekreasi, siapa sangka kini Zii Jia telah menempa kejuaraan dalam sebuah kejohanan yang berprestij seperti All England.

#2 Anak Jati Kelahiran Negeri Jelapang Padi

Zii Jia ketika bersama Menteri Besar Kedah – Foto: Muhammad Sanusi Md Noor FB

Iya! Zii Jia merupakan anak kelahiran negeri yang sinonim dengan gelaran jelapang padi iaitu Kedah Darul Aman. Anak muda ini dilahirkan di Alor Setar pada 29 Mac 1998. Ketika kecil, atlet yang memiliki ketinggian sekitar 1.86 meter pada ketika ini mula bersekolah di SJK Keat Hwa, Alor Setar. Namun demikian, Zii Jia berhijrah ke ibu kota untuk menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil.

#3 Mendapat Didikan & Latihan Oleh Legenda Badminton

Untuk menjadi juara, anda perlu belajar dengan juara. Menariknya, Zii Jia dididik dan dilatih oleh nama yang amat besar dalam sukan bulu tangkis iaitu bekas jaguh badminton negara, Misbun Sidek dan juga bekas jaguh badminton Indonesia, Hendrawan. Selain daripada mempunyai rekod yang cemerlang semasa bergelar pemain suatu masa dahulu, Misbun dan Hendrawan juga merupakan nama yang cukup sinonim dalam bidang kejurulatihan badminton di Malaysia dan turut sama membimbing ramai pemain badminton ternama Malaysia termasuk Lee Chong Wei.

#4 Kejayaan Yang Pernah Diraih oleh Zii Jia

Sejak beberapa tahun lalu, Zii Jia sudah meletakkan namanya selaku pemain badminton perseorangan lelaki masa depan buat negara. Antara kejayaan paling manis adalah merangkul emas ketika menyertai acara perseorangan lelaki pada temasya Sukan SEA 2019. Selain itu, Zii Jia turut pernah merangkul kejuaraan Terbuka Chinese Taipei 2018. Pastinya kejuaraan All England ini bukan yang terakhir buatnya dan pingat emas temasya Sukan Olimpik juga menjadi impiannya, Pada saat ini, Zii Jia menduduki ranking No.10 dunia dan ia merupakan pencapaian terbaiknya setakat ini. 

#5 Tidak Mahu Dibandingkan Dengan Lee Chong Wei

Sejak Lee Chong Wei mengumumkan menggantung raketnya pada 2019 yang lalu, nama Lee Zii Jia pantas diangkat sebagai pengganti. Bermula saat itu juga dia sering dibandingkan dengan legenda negara tersebut biarpun masih cetek pengalaman dan muda usianya. Bagaimanapun, di dalam satu temubual, Zii Jia tidak gemar orang ramai membandingkan dirinya dengan Chong Wei. Zii Jia mengatakan, dia mahu ‘menulis’ perjalanan perjalanan kariernya dalam sukan badminton yang tersindiri dan menumpukan untuk mempertingkatkan diri sendiri dari semasa ke semasa.

Featured Image: BAM

komen