Written by 5:00 pm Bola Sepak, Eropah, Lain-Lain

Kenali Pemain Brazil Yang Digelar Sebagai ‘Next Neymar’, Kayky Chagas

Seorang pemain muda kelahiran Brazil, Kayky da Silva Chagas dijangka bakal menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dengan bayaran sekitar 21 juta pound.

Digelar sebagai ‘The Next Neymar’ dek kerana kepantasan dan kawalan bola yang sangat bagus, Man City dikatakan sudah berbincang dengan pemain berusia 17 tahun tersebut untuk menandatanganinya.

Dia dijangka tiba di England pada jendala perpindahan musim panas kelak apabila usianya genap 18 tahun.

Menariknya, tawaran daripada kelab gergasi EPL yang dibimbing oleh Pep Guardiola ini hadir sebelum Kayky membuat penampilan profesional bersama kelabnya lagi.

Di sini, kami hidangkan lima perkara menarik mengenai pemain berkaki kidal ini agar pembaca laman sesawang, Sukanz dapat mengenalinya dengan lebih dekat:

#1 Produk Akademi Fluminense

Kayky merupakan produk salah sebuah akademi bola sepak yang terkenal di Brazil iaitu Akademi Fluminense. Dia juga mewakili pasukan akademinya bermain dalam saingan liga bawah umur di sana.

Antara pemain-pemain ternama dunia yang merupakan produk akademi ini ialah Marcelo (Real Madrid), Fabinho (Liverpool) dan bekas pertahanan kembar Manchester United, Rafael da Silva dan Fabio da Silva.

#2 Gaya Permainan Asbab Kayky Digelar Sebagai ‘The Next Neymar’

Kayky yang lahir pada 11 Jun 2003 dan dibesarkan di Rio de Janeiro merupakan seorang pemain berkaki kidal. Memiliki kepantasan dan kawalan bola yang mantap menyebabkan dia digelar sebagai ‘The Next Neymar’.

Bersama pasukannya, Kayky seringkali dimainkan di posisi sayap kanan sekaligus memberikannya memainkan peranan selaku ‘inverted winger’. Dia gemar melakukan larian untuk menewaskan bek kiri lawan atau menggelecek masuk untuk membelah pertahanan lawan sebelum merembat bola dalam gawang menerusi kaki kirinya.

#3 Peledak Gol & Kejayaan Yang Dikecapi Setakat Ini

Hasil daripada bermain sebagai ‘inverted winger’, Kayky berjaya menjaringkan 12 gol dalam saingan liga bawah 17 tahun yang lalu sekaligus meletakkannya sebagai penjaring terbanyak.

Jaringannya boleh hadir daripada dalam kotak dan juga luar daripada kotak. Gol-gol yang dijaringkannya telah membantu pasukannya merangkul kejuaraan liga. Selain daripada itu, Kayky turut berkemampuan untuk memainkan peranan selaku ‘playmaker’

#4 Pernah Gagal Pemilihan Akademi Fluminense

Tahukah anda, suatu ketika dahulu Kayky pernah gagal terpilih untuk menyertai Akademi Fluminense pada sesi uji bakatnya. Bagaimanapun, disebabkan gagal untuk menyertai akademi tersebut, Kayky mengambil keputusan untuk menyertai Mangueira Samba School – entiti yang dikenali sebagai melahirkan penghibur buat Rio Carnival berbanding dalam sukan bola.

Ironinya, pencari bakat Fluminense menemuinya kembali semasa bermain bersama pasukan Mangueira. Dia kemudiannya ditawarkan untuk menyertai pasukan remaja Fluminense.

#5 Dedikasikan Setiap Gol Kepada Bapanya

Pembabitannya dalam sukan bola sepak adalah disebabkan oleh motivasi dan sokongan padu daripada bapanya selepas daripada gagal di uji bakat akademi Fluminense semasa kecilnya.

 Jadi, sebagai menghargai peranan bapanya, setiap kali Kayky menjaringkan gol, dia akan meraikannya dengan meletakkan dua jarinya di atas bibir bagi menggambarkan misai bapanya – seperti dalam gambar di atas. 

Anda boleh menonton aksinya dalam pautan video di bawah:

(Visited 274 times, 2 visits today)
Close