Written by 4:48 pm Bola Sepak, Malaysia • One Comment

Kerteh FC Ambil Iktibar & Pengajaran Daripada Pasukan-Pasukan Yang Terkubur

Kisah beberapa pasukan yang pernah mewarnai saingan Liga Malaysia suatu masa dahulu sebelum terkubur diambil iktibar dan pengajaran oleh pihak pengurusan Kelab Bola Sepak Kerteh (Kerteh FC) dengan sebaiknya.

Berpandukan pengajaran tersebut, pasukan yang bergelar The Oilers ini bersikap tidak terburu-buru untuk menyertai saingan yang lebih tinggi walaupun berjaya merangkul kejuaraan berganda dalam saingan divisyen empat bola sepak tempatan iaitu Liga Amatur Terengganu (TAL) dan Piala TAL 2019.

Keutamaan Kerteh FC pada saat ini dicurahkan sepenuhnya untuk membangunkan fasiliti buat para pemain, pembangunan akar umbi serta meningkatkan lagi kekuatan kewangan kelab sebelum menyertai saingan yang lebih tinggi, sebagai contoh saingan divisyen tiga.

Itulah penjelasan yang dilontarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Syed Khairi Amier berkenaan ketiadaan nama Kerteh FC dalam kalangan 14 pasukan awal yang akan menyertai saingan Liga M3 bermula jun kelak sepertimana diumumkan oleh pihak Amateur Football League (AFL).

“Sebenarnya kita tidak ada perancangan untuk main (liga) M3 dalam masa terdekat, sebabnya fokus kita sekarang ini adalah fasiliti, kita nak bangunkan fasiliti terlebih dahulu, kita ikut apa yang kita rancang dalam roadmap (yang telah ditetapkan),”

“Pada kami (liga) M3 adalah penting tetapi bukan sekarang (waktunya). Perkara ini sedang dijalankan dan kita akan tumpukan (terlebih dahulu) kepada pembangunan akar umbi supaya kita masuk (bersaing di kancah lebih tinggi) dengan lebih bersedia,” katanya ketika ditemui selepas daripada Majlis Menandatangani Perjanjian Menaik Taraf & Mengurus Stadium Mini Kerteh, semalam.

Menurutnya, pihak pengurusan mahu membawa Kerteh FC berada di tahap paling bersedia daripada segala aspek terutamanya fasiliti dan kewangan sebelum mengalihkan tumpuan kepada pembinaan skuad untuk memberikan cabaran dalam saingan bola sepak yang akan mereka tandingi.

Perkara ini penting supaya mereka tidak ‘menggali kubur’ seperti pasukan-pasukan yang hanya mampu ‘hidup’ seketika waktu sahaja sebelum lenyap daripada peta bola sepak tanah air di atas pelbagai faktor dalam mahupun luaran.

Sebagai contoh, antara pasukan yang telah lenyap daripada kancah bola sepak tanah air ialah Perlis, Felcra FC, Felda United FC, Terengganu City FC, Hanelang FC dan beberapa pasukan lain lagi.

“Kalau ikut kepada perancangan kita, sasarannya adalah Liga Super tetapi bukan sekarang, (apabila) semua fasiliti sudah siap dan kita telah bersedia barulah kita akan tumpukan kepada prestasi pasukan untuk ke Liga Super. Perkara ini akan ambil masa dalam 20-30 tahun.” terangnya lagi. 

Dalam majlis yang berlangsung di Kelab Rekreasi & Golf Petronas tersebut, pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Kerteh Sports City Sdn Bhd (KSCSB) menandatangani perjanjian penyerahan Stadium Mini Kerteh bagi kerja-kerja menaik taraf yang merangkumi lima fasa serta menguruskannya.

Melalui perjanjian tersebut, bagi Fasa Pertama, KSCSB bertanggungjawab membina dan memasang padang sintetik bagi menggantikan padang rumput sedia bagi kegunaan sukan bola sepak dan Kerteh FC.

Selain itu, lampu limpah turut dipasang, menaik taraf gelanggang futsal serta infrastruktur Stadium Mini Kerteh dan membina pusat komersil serta gimnasium.

Selepas daripada itu, mereka akan meneruskannya dengan Fasa Kedua (pembinaan dewan badminton) dan diikuti dengan Fasa Ketiga, Fasa Keempat dan Fasa Kelima yang melibatkan pembinaan bangunan residensi, padang latihan serta fasiliti untuk kemudahan peminat terutamanya tempat duduk penonton.

Apabila siap kelak, KSCSB juga diberi tanggungjawab untuk menguruskan stadium tersebut yang  akan dikenali sebagai Kerteh Sports City (Kompleks Sukan Kerteh) lengkap dengan fasiliti yang lain.

Dimaklumkan, keseluruhan projek menaik taraf Kerteh Sports City ini membabitkan kos bernilai RM7 juta dan mengambil masa sekitar enam tahun.

Featured Image: Kerteh FC

(Visited 961 times, 1 visits today)
Close