Artikel

4 Pemain Yang Ditimpa Kecederaan ACL Lebih Daripada Sekali

Kecederaan di lutut, anterior cruciate ligament (ACL) sememangnya sangat mengerikan bukan sahaja buat pemain bola sepak malahan kesemua atlet sukan. Hal ini kerana kecederaan ini amat perit kesakitannya untuk ditanggung serta memerlukan masa yang panjang sebelum kembali pulih.

Untuk makluman, lutut kita terdiri daripada empat ligamen (tisu yang menghubungkan dua tulang) utama. ACL merupakan salah satu daripada empat ligamen tersebut. Tiga lagi ligamen yang lain ialah posterior cruciate ligament (PCL), medial collateral ligament (MCL) dan lateral collateral ligament (LCL).

Kecederaan ACL ini kebiasaannya menimpa seseorang yang sedang melakukan aktiviti sukan dan disebabkan itu kita sentiasa mendengar ianya sering menimpa para pemain dan atlet sukan.

Ianya berpunca daripada beberapa situasi seperti mengubah arah pergerakan dengan pantas, berhenti dengan mengejut, mengurangkan kelajuan semasa berlari, mendarat (landing) yang tidak betul selepas melompat dan akhir sekali apabila dilanggar (collision).

Kecederaan ini juga tidak asing menimpa atlet tempatan terutamanya dalam kalangan pemain-pemain bola sepak tempatan. Selalunya apabila disahkan mendapat kecederaan ini, seseorang pemain itu terpaksa menelan hakikat yang pahit terlepas peluang untuk bermain sekurang-kurangnya dalam tempoh hampir setahun.

Lebih malang, terdapat empat pemain yang ditimpa kecederaan ACL ini lebih daripada sekali. Berikut adalah empat orang pemain tersebut:

Brendan Gan

Foto: Selangor FC

Pemain Malaysia kelahiran Australia, Brendan Gan sudah diketahui ramai mempunyai sejarah kecederaan melibatkan ACL sebanyak dua kali. Kecederaan yang mengerikan ini menimpa kali pertama di lutut kanan ketika beraksi dalam saingan pertama Liga Super 2015 bersama Kelantan. Kecederaan itu menyebabkan Brendan terpaksa melupakan aksi bola sepak selama setahun. 

Malangnya, kecederaan yang sama kembali berulang ke atas Brendan pada penghujung musim 2016. Berbezanya kali ini, kecederaan itu menimpa Brendan semasa beraksi bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian Ong Kim Swee sekaligus menyebabkan dia terpaksa melupakan aksi bola sepak sepanjang tahun 2017.

Wan Zack Haikal

Foto: Felda United

Pernah mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air suatu masa dahulu, Wan Zack Haikal juga antara mangsa kecederaan ACL sehingga menyebabkannya gagal menyerlahkan potensi terbaiknya. Kali pertama kecederaan ACL menimpa Wan Zack ketika dia bermain bersama di Jepun bersama FC Ryukyu pada tahun 2013. Ini menyebabkannya terpaksa melupakan saingan bola sepak negara matahari terbit tersebut dan kembali ke tanah air. 

Selepas pulih daripada kecederaan tersebut, Wan Zack kembali menemui sentuhannya dalam permainan terutamanya ketika bersama Felda United. Kecemerlangan itu juga membuatkan Selangor memancingnya. Namun disangkakan panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari, belum sempat membuat penampilan pertama bersama skuad Red Giants, pemain sayap ini terpaksa akur ditimpa kecederaan yang sama buat kali kedua ketika bermain pada aksi pramusim 2019.

Halim Saari

Foto: Selangor FC

Pemain kelahiran Kulim ini sedang berada dalam prestasi terbaik dalam kariernya namun tanpa disangka-sangka Halim Saari terpaksa melupakan aksi pada musim ini setelah disahkan ditimpa kecederaan ACL. Ianya berlaku ketika aksi menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Untuk rekod, kali pertama pemain tengah berketinggian 1.78 meter ini ditimpa kecederaan ACL adalah ketika menyarung jersi Kedah semasa bermain pada saingan separuh akhir Piala FA 2017.

Azalinullah Alias

Foto: Terengganu FC

Bukan sekali, bukan dua kali tetapi tiga kali. Itulah jumlah kecederaan ACL yang menimpa pemain tengah berbakat Terengganu FC, Azalinullah Alias. Musim ini sepatutnya menjadi musim buat pemain yang dikenali sebagai Azali untuk menampilkan potensi terbaiknya selepas ditimpa kecederaan ACL pada tahun 2019 dan mengharungi musim yang pendek pada tahun 2020 ekoran pandemik covid-19.

Namun kecederaan serius di lutut menimpa Azali ketika menentang Melaka United pada dalam saingan Liga Super. Selepas melakukan imbasan, pemain berusia 25 tahun ini disahkan ditimpa kecederaan ACL. Untuk makluman, kali pertama Azali ditimpa kecederaan ACL ketika beraksi bersama Harimau Muda C pada tahun 2015.

Featured Image: FAM

komen