Written by 4:10 pm Bola Sepak, Malaysia

Oliver Buff: Cabar Kejuaraan Liga Pada Tahun Kedua

Pemain tengah Selangor FC, Oliver Buff meyakini kemampuan pasukannya untuk memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Switzerland itu berpandangan, walaupun tidak mustahil namun ianya sesuatu yang tidak realistik untuk Selangor mensasarkan kejuaraan liga pada musim ini.

Hal ini kerana skuad Selangor pada musim ini majoritinya terdiri daripada muka baharu serta dibimbing oleh ketua jurulatih baharu kelahiran Jerman, Karsten Neitzel.

“Ya, saya fikir kita boleh (memberikan cabaran).

“Tetapi untuk mengatakan kita merangkul kejuaraan pada tahun ini adalah tidak realistik kerana kita merupakan sebuah pasukan yang baharu.

“Saya rasakan tahun pertama untuk mencari keserasian di atas padang, mengenali pasukan dengan lebih mendalam. 

“Dan pada tahun kedua mungkin kita boleh cuba mencabar kejuaraan liga.” katanya ketika ditemui selepas acara media oleh La Liga yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Foto: MFL

Untuk makluman, Buff merupakan salah seorang pemain import baharu yang ditandatangani oleh Selangor untuk mengharungi saingan musim ini.

Setakat tujuh perlawanan liga yang telah berlangsung, pemain berusia 28 tahun ini menampilkan prestasi yang sangat memberangsangkan di atas padang termasuk menjaringkan 4 gol.

Namun prestasi tersebut masih tidak mencukupi untuk membantu skuad Red Giants meraih lebih banyak kemenangan dan menempatkan diri dalam kelompok teratas carta Liga Super.

Pada masa yang sama, Buff yang pernah beraksi dalam saingan Liga Sepanyol bersama Real Zaragoza turut mengakui Liga Malaysia merupakan saingan yang kompetitif.

“Saya rasakan (Liga Malaysia) merupakan liga yang bagus. Sangat sukar untuk meraih kemenangan, saya telah cuba sedaya upaya untuk membantu pasukan.” katanya lagi.  

(Visited 62 times, 1 visits today)
Close