Written by 1:28 pm Bola Sepak, Malaysia

Ulasan Sukanz: Full-back Kedah ‘Dibuli’ Oleh Faisal & Hakimi

Pertembungan antara Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC di Stadium Darul Aman menyaksikan pasukan pelawat berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 sekaligus memungut 3 mata berharga pada aksi kelapan Liga Super.

Dalam aksi tersebut, Kedah terlebih dahulu memperolehi gol menerusi kesilapan pertahanan tengah Terengganu, Muhammad Mohd. Fauzi yang tertampan bola hantaran pemain sayap lincah, Rabih Ataya ke dalam gawang sendiri pada babak pertama.

Bagaimanapun, Terengganu tidak mudah menyerah kalah, berjaya bangkit dan berhasil meraih kemenangan menerusi jaringan penalti oleh David da Silva pada masa kecederaan babak pertama sebelum pertahanan kanan, Azam Azmi Murad menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua.

Berikut adalah ulasan perlawanan antara Kedah Darul Aman dan Terengganu yang penuh intensiti dan mengujakan untuk tatapan semua pembaca:

#1 Faisal Buatkan Terengganu Lebih Dominan di Bahagian Kanan

Mari kita bermula dengan pasukan pelawat terlebih dahulu. Terengganu yang dibimbing oleh Nafuzi Zain turun menentang Kedah dengan formasi 4-3-3. Trio serangannya dipimpin oleh David da Silva sementara di bahagian kanan diisi oleh Faisal Halim dan bahagian kiri diisi oleh Hakimi Abdullah.

Dalam perlawanan tersebut, pujian paling besar harus diberikan kepada Faisal dan Hakimi kerana berfungsi dengan sangat baik di posisi sayap pada separuh masa pertama dan kedua. 

Foto: Terengganu Football Club

Namun begitu, di antara kedua-dua pemain tersebut, Faisal tampil paling menyerlah di atas padang kerana menampilkan kemampuan individu yang baik, melakukan larian solo yang mengancam pertahanan lawan, melakukan hantaran lintang serta membuat percubaan ke arah gol. Sebagai tambahan, serangan yang digerakkan oleh Faisal mendapat sokongan daripada pertahanan kanan, Azam Azmi Murad. 

Oleh sebab itu, kita dapat melihat ‘build up’ Terengganu lebih dominan di sebelah kanan kerana setiap kali Faisal menerima bola, Azam Azmi akan segera naik ke atas untuk memberikan sokongan dan melakukan overlapping jika mempunyai peluang. 

Pertahanan kiri Kedah, Fandi Othman menjadi pemain yang paling diuji oleh gandingan Faisal dan Azam Azmi dalam permainan ini.

Selain itu, kita turut menyaksikan pemain perancang, Makan Konate lebih selesa untuk melakukan hantaran mencari Faisal. Selain daripada Konate, seorang lagi pemain tengah iaitu Dechi Marcel turut mencari Faisal apabila mendapat bola. Kedua-dua pemain ini berperanan sebagai penyambung antara Azam Azmi (pertahanan) dan Faisal (sayap) apabila merancang serangan.  

#2 Hakimi Pemain Yang Mempunyai Skil dan Sangat Laju

Foto: Terengganu Football Club

Sementara itu, pujian harus juga diberikan kepada permainan individu oleh Hakimi. Tidak dinafikan, 15 minit pertama permainan, persembahannya agak kurang memuaskan kerana masih mengambil masa untuk menyesuaikan diri. 

Namun selepas daripada itu, apabila dia telah menyesuaikan diri, kita boleh melihat Hakimi merupakan seorang pemain yang sangat berskil dan memiliki kelajuan. Sepanjang perlawanan, Hakimi menunjukkan beberapa larian solonya berjaya menewaskan pertahanan kanan, Ariff Farhan dan juga Amirul Hisyam. Kemuncaknya prestasinya hadir pada separuh masa kedua, di mana dia sangat dominan di sebelah kiri menerusi ‘dribble’ dan lariannya. 

Sayangnya, kekurangan Hakimi di bahagian kiri adalah tidak mendapat sokongan daripada full-back kiri, Arif Fadzilah sebagaimana Faisal Halim mendapat sokongan daripada Azam Azmi. Hal ini kerana Arif merupakan pemain yang lebih defensif dan tidak naik terlalu ke atas untuk melakukan overlapping sepertimana Azam Azmi.

Sekiranya Arif memberikan sokongan kepada Hakimi dan melakukan overlapping sepertimana Azam Azmi di bahagian kiri, dijangkan Terengganu mungkin dapat menjaringkan lebih daripada dua gol. 

Akan tetapi, disebabkan oleh Arif bermain secara defensif, Terengganu berupaya memastikan bahagian kirinya tidak mudah dibolosi samada oleh Rabih Ataya (separuh masa pertama) atau Azammuddin Akil (separuh masa kedua).

#3 Muhammad Mohd. Fauzi Miliki Mental Yang Kuat

Foto: MFL

Kita beralih pula kepada barisan pertahanan Terengganu secara keseluruhan. Pada babak pertama, ianya dilihat tidak begitu ‘solid’. Namun begitu, separuh masa kedua, mereka memperbaiki perkara tersebut. 

Persembahan pertahanan tengah, Muhammad Mohd. Faudzi menyaksikan peningkatan yang ketara terutamanya pada separuh masa kedua. Walaupun telah melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri pada babak pertama, Muhammad cepat melupakan kesilapan tersebut (move on), tidak terbawa-bawa dengan kesilapan tersebut dan tumpukan perhatian untuk baki permainan. Pujian perlu diberikan kepada pemain berusia 25 tahun ini kerana mempunyai kekuatan mental yang kuat.

Malahan pada penghujung perlawanan, dia turut melakukan hadangan kepada rembatan Rozaimi Abdul Rahman sekaligus memastikan gawang Terengganu selamat dan mempertahankan kelebihan satu gol yang dimiliki.

#4 David Da Silva Beri Kelainan Kepada Corak Permainan Terengganu

Foto: Terengganu Football Club

Dalam perlawanan ini, ketua jurulatih, Nafuzi Zain kembali menggunakan penyerang Brazil, David Da Silva setelah direhatkan sebanyak enam perlawanan kerana kecederaan.

Bercakap mengenai Da Silva, dia kelihatan belum cergas sepenuhnya tetapi kehadirannya sekitar 70 minit di atas padang memberikan satu dimensi atau corak baharu kepada gaya permainan Terengganu berbanding menggunakan penyerang Terengganu II, Jordan Mintah. 

Da Silva ditugaskan untuk bermain sebagai targetman tetapi dia cukup gemar dan selesa untuk turun ke bawah, mendapatkan bola dan membantu Terengganu membina serangan. Ini juga mengelakkan dia mudah diikat (marking) oleh pertahanan atau pemain tengah bertahan. 

Disamping itu, Da Silva turut memiliki work rate yang agak baik serta ketenangannya dalam menyempurnakan penalti tidak mengejutkan kita dengan kapasitinya yang hadir sebagai penyerang prolifik dalam saingan Liga Indonesia. 

Dijangka dalam dua hingga tiga perlawanan berikutnya, apabila dia kembali cergas dan semakin serasi bersama rakan sepasukan, kelibat David da Silva di atas padang akan memberikan impak yang lebih besar kepada Terengganu.

#5 Kehilangan pertahanan kanan, Rizal Ghazali Dirasai oleh Kedah

Foto: MFL

Mari kita beralih kepada pasukan Kedah pula. Boleh dikatakan sepanjang perlawanan Kedah lebih banyak menguasai bola dan bertukar-tukar hantaran.

Namun antara kekurangan Kedah kali ini adalah tiadanya kelibat pertahanan kanan kental, Rizal Ghazali di bahagian kanan dan juga kelemahan pertahanan kirinya.

Seperti telah dibincangkan di atas, pemain sayap kiri dan kanan Terengganu sangat berfungsi dalam perlawanan ini dan kelibat Ariff Farhan (full-back kanan) serta Fandi Othman (full-back kiri) tidak dapat mengekang Hakimi Abdullah dan Faisal Halim.

Terengganu benar-benar mengambil peluang atas kelemahan kedua-dua full-back ini dan Kedah pula tiada perancangan khusus untuk mengekang kedua-dua pemain sayap ini.

#6 Kedah Hilang Kreativiti Apabila Rabih Ataya Dikeluarkan

Foto: Kedah Darul Aman

Pemain paling mencuri tumpuan dalam pasukan Kedah ialah Rabih Ataya. Dalam perlawanan tersebut, dia tidak diikat (marking) secara khusus oleh mana-mana pemain Terengganu dan bebas bergerak. Tidak seperti perlawanan menentang Selangor di mana Rabih diikat kemas oleh Jordan Ayimbila dan Safwan Baharuddin.

Rabih juga menjadi pusat kreativiti Kedah namun kekurangannya adalah Kedah bermain secara direct play dan Rabih tidak dapat mencari gandingan penyerang, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre secara berkesan.

Separuh masa kedua, Kedah mengeluarkan Rabih dan memasukkan pemain yang lebih segar seperti Azammuddin Akil, Fadzrul Danel, Fayyadh dan Rozaimi Abdul Rahman untuk merancakkan lagi serangan bagi mencari gol penyamaan.

Namun begitu, pertukaran pemain dan taktikal yang dilakukan oleh Aidil Sharin Sahak ‘dijawab’ oleh Nafuzi dengan memasukkan Engku Shakir, Hafizal Mohamad dan Nik Akif seterusnya mengarahkan anak-anak buahnya bermain di kawasan sendiri, menyerap asakan dan mempertahankan kelebihan 2-1 yang dimiliki.

Ternyata apa yang dilakukan oleh Nafuzi itu menyukarkan Kedah untuk menembusi barisan pertahanan Terengganu dan berjaya mengekang Kedah daripada mencari gol penyamaan sekaligus mencuri 3 mata dari Stadium Darul Aman.

Nota: Ulasan ini dikongsikan oleh peminat tegar bola sepak tempatan, Wafiy Amran. Anda boleh mendengar ulasan untuk perlawanan Liga Super yang lain di saluran Youtube-nya DI SINI.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 230 times, 1 visits today)
Close