Written by 6:20 pm Bola Sepak, Malaysia

Ulasan Sukanz: Tim Heubach Diturunkan Pangkat Ke Selangor 2?

Aksi kelapan Liga Super menyaksikan Selangor yang bermain di halaman sendiri berjaya menumpaskan Perak dengan jaringan akhir 3-1 hasil ledakan hatrik oleh Ifedayo Olusegun pada minit ke-8, ke-29 (penalti) dan ke-71.

Semenatara itu, pasukan pelawat pula mendapat gol saguhati di penghujung masa permainan hasil jaringan pemain gantian, Farid Khazali setelah mendapat umpanan daripada penyerang, Guilherme de Paula.

Tanpa melengahkan masa lagi, ikuti ulasan perlawanan antara Selangor dan Perak khas untuk tatapan pembaca Sukanz:

#1 Sekali Lagi Jordan Ayimbila Cemerlang di Posisi Bek Kiri

Foto: Selangor FC

Pertahanan kelahiran Ghana, Jordan Ayimbila sekali lagi dipertaruhkan oleh Karsten Neitzel untuk mengisi posisi bek kiri. Kita sedia maklum persembahannya menentang Kedah sebelum ini adalah baik, tetapi persembahannya ketika menentang Perak semakin meningkat.

Ketika menentang Perak, pemain berusia 20 tahun ini cemerlang mengikat pemain sayap, J. Partiban sehingga menyebabkan Perak tidak dapat menggerakkan serangan di sebelah kiri Selangor. 

Bukan sahaja beraksi baik semasa bertahan, Ayimbila yang sebenarnya merupakan seorang pertahanan tengah (centre-back) menampilkan persembahan cemerlang ketika menyerang dengan seringkali melakukan overlapping, menggelecek (dribbling) pemain lawan dan melakukan hantaran lintang (crossing) yang baik untuk mencari rakan sepasukan di dalam kotak penalti.

Boleh dikatakan pertahanan kanan Perak, Amirul Azhan mengharungi malam yang sukar apabila terpaksa berhadapan dengan Ayimbila dalam perlawanan tersebut. Lebih manis, persembahan cemerlang Ayimbila sepanjang perlawanan tersebut diserikan dengan melakukan satu ‘assist’ kepada penyerang, Ifedayo Olusegun untuk gol pertama Selangor.

#2 Trio Midfield Selangor Semakin ‘Garang’

Foto: MFL

Turun menentang Perak, Karsten Neitzel masih mengekalkan formasi yang sama seperti ketika melayan kunjungan Kedah pada aksi ketujuh Liga Super. Beliau mempertaruhkan formasi 4-1-2-1-2 (diamond) dengan bahagian midfield terdiri daripada Manuel Konrad, Alif Haiqal, Brendan Gan dan Oliver Buff.

Paling mencuri tumpuan, gandingan trio Alif, Brendan dan Buff semakin menunjukkan keserasian, tampil semakin ‘garang’ di atas padang. Mereka bukan sahaja nampak selesa bermain di posisi sendiri, iaitu Alif (di bahagian kiri), Brendan (di bahagian kanan) serta Buff (posisi No.10) malahan sudah mula selesa bertukar-tukar posisi antara satu sama lain. 

Dapat dilihat ada ketikanya Brendan bermain di posisi No.10 dan Buff ke bahagian kanan. Sementara itu, ada ketikanya Buff ke kiri dan Alif masuk bermain posisi No.10. Tidak dilupakan, pujian diberikan kepada Brendan yang melakukan beberapa crossing yang baik ke dalam kotak penalti daripada sebelah kanan.

#3 Penampilan Pertama Manuel Konrad Yang Memberangsangkan

Foto: Selangor FC

Perlawanan menentang Perak menyaksikan Manuel Konrad membuat penampilan pertama bersama skuad utama Selangor untuk musim ini. Sebelum ini, dia tidak dapat diturunkan kerana isu kecergasan.

Berdasarkan persembahan yang ditampilkannya, Konrad menunjukkan dia merupakan ‘pure defensive midfielder’ yang hilang dan sangat diperlukan oleh Selangor selama ini.

Dalam perlawanan itu, Konrad banyak membantu pertahanan Selangor untuk menyerap serangan-serangan yang dilancarkan oleh Perak. Keduanya, Konrad mempunyai vision yang baik dan berkemampuan melakukan hantaran jauh sekaligus membolehkan Selangor melancarkan serangan balas.

Ketiganya, Konrad turut memiliki ketenangan apabila mendapat bola. Selepas merampas bola daripada kaki pemain lawan, dia tidak gopoh dan mampu membina permainan secara hantaran pendek. Sebagai bonus, dia turut memiliki kelebihan fizikal yang tinggi dan besar.

#4 Pertahanan Tengah, Shahrul Nazeem ‘Afro’ Semakin Mencuri Tumpuan

Foto: MFL

Seorang lagi pemain Selangor yang boleh dipuji dalam perlawanan ini ialah Shahrul Nazeem atau digelar oleh para peminat sebagai Afro. Ini merupakan penampilan keduanya bersama skuad utama Selangor dan dia bermain sangat baik. Apa yang boleh dipuji adalah work rate ditampilkannya adalah tinggi, tenang dan cepat membaca perlawanan. 

Pada perlawanan sebelum ini, dia bergandingan bersama Tim Heubach namun ketika menentang Perak, Afro sekali terpaksa membentuk gandingan baharu bersama Safuwan Baharuddin. 

Bagaimanapun, tiada sebarang masalah untuknya bermain secara ‘pair’ buat pertama kali bersama pemain Singapura tersebut malahan membentuk gandingan mantap sehingga membuatkan Perak buntu hampir sepanjang permainan. 

Dijangka, dengan persembahan konsisten setakat ini, Afro akan kekal sebagai taruhan utama Karsten Neitzel di benteng pertahanan untuk perlawanan seterusnya.

#5 Tim Heubach Terpaksa Diturunkan Ke Pasukan Feeder, Selangor 2?

Foto: Selangor FC

Untuk makluman, sebelum daripada perlawanan menentang Perak, Selangor memaklumkan pertahanan importnya, Tim Heubach tidak dapat diturunkan kerana ditimpa kecederaan. 

Namun dengan perkembangan terkini Selangor mempertaruhkan lima pemain import yang terdiri daripada Oliver Buff, Manuel Konrad, Jordan Ayimbila, Ifedayo Olusegun (kuota asia) dan Safuwan Baharuddin (kuota asia tenggara), kedudukan Tim Heubach menjadi persoalan.

Jika dilihat kepada percaturan semasa Karsten yang bermain dengan formasi 4-1-2-1-2 dan prestasi kelima-lima pemain import di posisi masing-masing, nampaknya tidak ada tempat buat Tim Heubach untuk kembali ke skuad utama setelah pulih kelak.

Tidak mungkin Karsten akan menghantar Jordan Ayimbila yang begitu cemerlang di posisi bek kiri ke skuad Selangor 2 untuk memberikan ruang kepada Tim Heubach. Begitu juga dengan Konrad yang telah menunjukkan persembahan memberangsangkan dan menunjukkan dia sangat diperlukan di posisi defensive midfielder.

Safuwan Baharuddin pula tidak boleh ditukarkan kerana Tim Heubach tidak boleh mengisi slot pemain import asia tenggara. Sangat menarik untuk menantikan apakah keputusan yang akan dibuat melibatkan Tim Heubach ini.

Nota: Ulasan ini dikongsikan oleh peminat tegar bola sepak tempatan, Wafiy Amran. Anda boleh mendengar ulasan untuk perlawanan Liga Super yang lain di saluran Youtube-nya DI SINI.

Featured Image: Selangor FC

(Visited 520 times, 1 visits today)
Close