Written by 11:23 am Lain-Lain • One Comment

Laman Sesawang kontinjenmalaysia.my Medium Hebahan & Sokongan Kepada Atlet Negara

Sebuah laman sesawang, kontinjenmalaysia.my telah dilancarkan bagi mempromosikan Road To Tokyo 2020 (RTT 2020) dengan memaparkan profil atlet-atlet negara, persediaan kontinjen Malaysia ke arah temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

Selain itu, laman web ini turut menjadi medium hebahan makluman semasa, platform untuk mendapatkan sokongan dan pandangan masyarakat Malaysia terhadap atlet-atlet negara yang bakal berjuang di temasya berprestij bermula pada julai kelak.

QR Code Support RTT 2020 juga telah diaktifkan bagi tujuan mendapatkan sokongan rakyat Malaysia dan melihat taburan penyokong RTT 2020 ini.

Laman sesawang tersebut dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican pada majlis Detik 100 Hari ke Tokyo 2020 yang berlangsung di Dewan Banquet Casa 4, Majlis Sukan Negara, semalam.

Beberapa program telah diatur oleh Majlis Sukan Negara untuk menyemarakkan lagi kehangatan temasya berprestij ini antaranya Program Jelajah Road To Tokyo 2020 yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan masyarakat serta membangkitkan semangat atlet yang akan berjuang di Temasya Sukan/Paralimpik Tokyo 2020.

Sehingga kini seramai 12 orang atlet telah berjaya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang mana melibatkan 5 jenis sukan iaitu Akuatik-Terjun, Pelayaran, Berbasikal, Memanah dan Gimnastik Artistik.

Proses kelayakan masih berlangsung sehingga bulan Jun ini. Dan Seramai 23 orang atlet kini berada dalam program RTT untuk proses kelayakan tersebut.

Manakala untuk Sukan Paralimpik pula seramai 10 orang atlet dari Akuatik-Renang, Memanah, Olahraga, Badminton, Boccia dan 3 slot untuk sukan berbasikal telah berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan seramai 14 orang atlet masih menjalani proses kelayakan yang akan tamat pada Jun 2021.

Untuk makluman, Temasya Sukan Olimpik dijadualkan pada 23 Julai – 3 Ogos 2021 manakala Sukan Paralimpik pula akan berlangsung pada 24 Ogos – 5 September 2021.

(Visited 74 times, 1 visits today)
Close