Artikel

Luqman Bersahur Kurma, Roti, Yogurt dan Air di Belgium

Penyerang muda yang beraksi bersama KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin hanya menjamah menu yang ringkas semasa bersahur untuk menjalani ibadah puasa di Belgium.

Menurut penyerang yang bakal menjengah usia 20 tahun itu, antara menu yang dijamahnya adalah kurma, roti, yogurt dan air sahaja sebelum masuknya waktu subuh sekitar jam 4.30 pagi.

Bagaimanapun, ianya sudah memadai buat Luqman untuk menahan lapar dan dahaga dalam tempoh hampir 17 jam serta mengikuti sesi latihan bersama rakan sepasukan selama dua jam pada sebelah pagi.

“Letih memang letih tetapi hendak buat macam mana, saya kena paksa diri juga.

“Kalau di Malaysia, latihan dalam bulan puasa cuma pada waktu malam tetapi di sini (Belgium), kami ada latihan di sebelah pagi.

“Saya bersahur pada jam 4.00 dan pada 4.30 sudah tamat waktu bersahur. Saya hanya bersahur kurma, roti, yogurt dan air.

“Saya makan kurma untuk tenaga dan bagi saya, ia tiada masalah kerana latihan saya hanya dua jam dan boleh berehat pada sebelah petang.” katanya menerusi Nadi Arena.

Sempat juga Luqman berkongsikan menu berbukanya pada hari pertama berpuasa dengan memasak sendiri menu tempatan yang diinginkannya iaitu nasi goreng tomyam bersama udang.

“Menu semasa hari pertama berpuasa, saya terasa mahu makan nasi goreng tomyam, jadi saya ke kedai asia di sini untuk  membeli apa yang patut dan masak nasi goreng tomyam bersama udang.

“Saya hendak rasa makanan Malaysia pada hari pertama untuk mendapatkan semangat,” katanya lagi.

Untuk makluman, KV Kortrijk akan menempuh perlawanan terakhir saingan Jupiler Pro League iaitu perlawanan ke-34 bagi musim 2020/21 pada hujung minggu ini.

Setakat 33 perlawanan yang telah berlangsung, KV Kortrijk telah mengumpul 39 mata hasil daripada 11 kemenangan dan 6 seri sekaligus menempatkan dirinya di tangga ke-14 liga.

Featured Image:  KV Kortrijk

komen