Artikel

Akademi Bola Sepak Cyberlynx Platform Kembangkan Karier Selepas SPM

Malaysia mempunyai sebuah program pembangunan bola sepak, Program Pembangunan Bola Sepak Negara atau lebih dikenali sebagai NFDP. Program ini bertujuan untuk melatih kanak-kanak bermula umur 7 tahun sehingga remaja berusia 17 tahun dalam sukan bola sepak.

Bagaimanapun, setelah tamatnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau berumur 18 tahun, kemanakah hala tuju mereka? Mungkin ada sebahagian daripada mereka ini bakal mendapat tempat di skuad Piala Belia (B-19) atau Piala Presiden (B-21) dalam kalangan pasukan yang bersaing dalam kancah bola sepak tempatan.

Namun seperti kita sedia maklum, hanya terdapat 18 pasukan profesional sahaja yang bersaing di kancah liga tertinggi Malaysia. Tidak mungkin kesemua pelatih produk NFDP yang terdiri daripada keluaran Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dapat diisi ke dalam 18 pasukan tersebut.

Disebabkan itu, Cyberlynx International College hadir dengan sebuah program ‘Student Athlete’ khusus untuk memberikan satu platform kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mengembangkan karier dalam sukan bola sepak selepas daripada SPM.

Untuk menyertai program ini, pertama sekali, anda perlu menyambung pelajaran dalam program diploma di Cyberlynx International College. Terdapat sekitar sembilan program diploma yang ditawarkan di kolej ini.

Antaranya Diploma in Football Studies, Diploma in Business Administration, Diploma in Fashion dan lain-lain lagi dimana yurannya adalah sekitar RM12,000 bagi tempoh tiga tahun.

Setelah mendaftar untuk melanjutkan program dalam mana-mana program diploma di kolej ini, para pelajar berpeluang untuk menyertai Akademi Bola Sepak Cyberlynx dan diberikan biasiswa.

Di akademi ini, para pelajar berpeluang untuk mengikuti latihan untuk membangunkan kemahiran teknikal, taktikal, fizikal dan fisiologi. Para pelajar akan dibimbing oleh ketua jurulatih pembangunan akademi, Hasmawi Hassan. Selain itu, pelajar akademi ini akan berpeluang untuk bermain dalam kejohanan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan aksi kompetitif di sekitar Lembah Klang. 

Lebih menarik, peserta akademi pada tahun ini berpeluang untuk mewakili Cyberlynx FC yang telah diumumkan bakal berentap dalam saingan Liga M3, baru-baru ini. Untuk makluman, Cyberlynx FC ini dibimbing oleh bekas pemain kebangsaan, Shahril Arsat.

Akademi Bola Sepak Cyberlynx ini masih muda usianya. Ia ditubuhkan pada tahun 2018 namun telah mempunyai sekitar 150 pemain yang berumur antara 18 tahun hingga 23 tahun.

Walaupun masih muda, seramai 11 orang graduan akademi ini telah berjaya menempatkan diri bersama pasukan profesional dalam saingan bola sepak Malaysia.

Featured Image: Cyberlynx FC

komen