Written by 2:04 pm Bola Sepak, Eropah

Format Baharu Liga Juara-Juara (UCL) Umpama Liga Super Eropah (ESL) 2.0

Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memperkenalkan format baharu untuk kejohanan berprestijnya, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dalam satu pengumuman, semalam.

Pengumuman itu hadir sehari selepas daripada 12 pasukan ‘elit’ eropah mahu mengadakan dan menyertai sebuah kejohanan baharu yang digelar sebagai Liga Super Eropah (ESL).

Difahamkan pembaharuan format UCL itu disokong sebulat suara daripada Lembaga Persatuan Kelab Eropah (ECA) dan Jawatankuasa Pertandingan Kelab UEFA dan akan bermula pada saingan musim 2024/25.

Apa Perkara Baharu Yang Diumumkan oleh UEFA?

Antara perkara baharu yang diumumkan oleh badan induk bola sepak eropah tersebut terhadap kejohanan UCL adalah, pertamanya, pertambahan pasukan yang akan mengambil bahagian daripada 32 pasukan kepada 36 pasukan.

Keduanya, kejohanan ini akan kekal bermain di pertengahan minggu seperti sebelum ini namun ianya akan dimainkan pada hari khamis berbanding hari selasa dan rabu.

Perubahan yang paling besar adalah formatnya. Setiap pasukan yang layak menyertai UCL akan bermain sekurang-kurangnya 10 perlawanan menentang 10 pasukan berbeza secara saingan liga (5 perlawanan home dan 5 perlawanan away). 

Tiada lagi saingan peringkat kumpulan yang terdiri daripada 4 pasukan daripada setiap kumpulan. Seperti biasa, setiap kemenangan akan diberikan 3 mata manakala keputusan seri mendapat 1 mata.

8 pasukan teratas akan layak ke peringkat 16 terakhir secara automatik manakala pasukan di tempat ke-9 hingga ke-24 akan bermain dalam perlawanan play-off untuk memilih baki 8 pasukan ke peringkat 16 terakhir.

Format baharu ini juga akan terpakai kepada saingan Liga Europa (UEL) dan saingan baharu divisyen 3 eropah, Liga Conference Europa (UECL). Bagaimanapun, format baharu ini akan bermula pada saingan musim 2024/25 kelak.

Format Yang Hampir Sama Dengan ESL

Menariknya, jika diperhatikan, format saingan UCL, UEL dan UECL yang diumumkan oleh UEFA itu hampir sama dengan format kejohanan ESL yang mahu dibentuk oleh 12 pasukan ‘elit’ baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, saingan ESL akan terdiri daripada 20 pasukan. Format kejohanannya adalah 20 pasukan tersebut akan dibahagikan kepada 2 kumpulan yang terdiri daripada 10 pasukan masing-masing.

Setiap pasukan akan menentang kesemua pasukan (round robin) dalam kumpulan masing-masing dan 3 pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.

Manakala pasukan di tangga keempat dan kelima setiap kumpulan akan bermain secara play-off untuk mencari baki dua pasukan terbaik ke peringkat suku akhir.

Secara ringkasnya, bagi penyokong dan peminat bola sepak di Malaysia, ianya mirip kepada format saingan Piala Belia, Piala Presiden dan Piala FAM suatu masa dahulu.

Format Baharu Yang Diterapkan UEFA Untuk ‘Lawan’ Idea ESL?

Berdasarkan maklumkan oleh UEFA, format baharu untuk kejohanan eropah khususnya UCL ini bertujuan memberikan peluang kepada para penyokong dan penonton untuk menyaksikan pertembungan antara pasukan-pasukan besar pada peringkat awal kejohanan.

Selain itu, setiap pasukan akan berusaha memungut mata dalam setiap perlawanan bagi memastikan mereka mempunyai cukup mata untuk layak ke peringkat kalah mati sekaligus memastikan ‘drama’ yang mengasyikkan sehingga ke hari terakhir perlawanan peringkat awal.

Adakah format baharu yang mirip kepada kejohanan ESL ini merupakan salah satu ‘counter offer’ oleh UEFA untuk memujuk kembali 12 pasukan ‘elit’ tersebut untuk kembali ke saingan UCL? Apa pendapat anda?

Featured Image: UEFA

(Visited 406 times, 1 visits today)
Close