Written by 4:46 pm Bola Sepak, Malaysia

Previu Sukanz: Mampukah Wak Am Bantu Sabah Curi 3 Mata Daripada Selangor?

Selangor FC bakal menerima kunjungan Sabah FC pada aksi kesepuluh Liga Super 2021 pada hari esok, sepak mula pada jam 10 malam di halaman sendiri, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pertembungan kedua-dua pasukan ini dijangka sengit dan hangat memandangkan prestasi semasa Selangor dan Sabah yang hampir seimbang berdasarkan keputusan lima perlawanan terakhir mereka.

Dalam lima perlawanan yang sudah, Selangor yang dikenali sebagai Red Giants merekodkan 3 kemenangan dan 2 kekalahan. Manakala, pasukan pelawat atau terkenal dengan julukan The Rhinos pula mencatatkan 2 kemenangan, 2 seri dan satu kekalahan.

Berikut adalah previu perlawanan antara Selangor dan Sabah:

#1 Mampukah Ifedayo Meneruskan Ketajamannya Merobek Gawang?

Foto: Selangor FC

Penyerang utama Selangor, Ifedayo Olusegun sedang berada dalam prestasi terbaiknya pada ketika ini. Dalam dua perlawanan yang sudah (menentang Perak dan Melaka United), Ifedayo telah menjaringkan 5 gol sekaligus telah mengumpul 7 gol dalam saingan Liga Super setakat ini.

Sudah pasti ketajaman Ifedayo akan terus dituntut oleh Selangor untuk memastikan mereka dapat memburu gol serta meneruskan rentak kemenangan demi memperbaiki kedudukan mereka di dalam saingan liga.

Antara perkara lain yang menarik untuk disaksikan, siapakah gandingan Ifedayo di bahagian serangan? Adakah Ifedayo akan kekal bergandingan bersama penyerang muda, Danial Asri atau penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri. 

#2 Kembalinya Legenda, Amri Yahyah Ke Selangor

Foto: Sabah FC

Dalam perlawanan ini, kita bakal menyaksikan pemain legenda Selangor, Amri Yahyah akan turun menentang pasukan lamanya. Untuk rekod, kali terakhir Amri atau lebih dikenali sebagai Wak Am mewakili skuad Red Giants adalah pada musim 2019.

Ketika ini, pemain berusia 40 tahun ini sedang berada dalam prestasi terbaiknya. Bersama Sabah, Amri diberikan peranan ‘free role’ di atas padang oleh ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto dan dia beraksi dengan baik bersama-sama Saddil Ramdani serta Levy Madinda.

Menarik untuk menyaksikan impak yang akan dijelmakan oleh Amri sambil dibantu oleh Saddil dan Levy di bahagian tengah untuk membantu Sabah meraih kemenangan di Stadium MBPJ, malam esok. 

#3 Pertembungan Jordan Ayimbila vs Saddil Ramdani

Foto: Selangor FC

Pertahanan tengah yang diubah ke posisi kiri, Jordan Ayimbila menjadi antara pemain Selangor yang berada di puncak prestasi pada saat ini. Memiliki fizikal yang tinggi, larian yang pantas dan rajin melakukan overlapping untuk mencipta assist merupakan asetnya.

Malam esok, Jordan bakal berdepan satu tugas yang sukar iaitu untuk mengekang pergerakan pemain lincah Sabah yang juga dalam prestasi yang sangat baik iaitu Saddil Ramdani.

Pemain muda kelahiran Indonesia itu semakin menunjukkan impaknya di dalam sistem yang diterapkan oleh Kurniawan. Dia menjadi ‘enjin’ dan pusat kreatif buat Sabah. Selain itu, gandingannya bersama penyerang, Sam Johnson turut membolehkan dia menjarinkan satu gol ketika Sabah membelasah UiTM, minggu lalu.

#4 Formasi 4-1-2-1-2 (Diamond) vs Midfield Sabah Yang Kompak

Penonton akan disajikan dengan pertembungan perancangan formasi dan taktikal Selangor yang dikendalikan Karsten Neitzel dan Sabah yang dibimbing oleh Kurniawan.  

Akhir-akhir ini, Karsten gemar menerapkan formasi 4-1-2-1-2 dengan bahagian tengahnya berbentuk diamond. Ianya hampir pasti diisi oleh Manuel Konrad, Brendan Gan, Aliff Haiqal dan Oliver Buff. Menggunakan formasi ini, Karsten memiliki barisan yang ampuh apabila bertahan.

Foto: Selangor FC

Namun ketika menyerang, dia akan menaruh harapan kepada Brendan dan Aliff untuk menggerakkan serangan manakala Buff pula sebagai pemain No.10. Tiada ‘pure winger’ dalam sistem ini dan untuk melakukan hantaran lintang, Karsten akan mengharapkan Brendan serta Aliff.

Sabah pula gemar bermain dengan formasi 4-5-1 dan apabila bertemu pasukan yang gemar menguasai permainan, mereka lebih suka bermain secara ‘parking bus’ dan melancarkan serangan balas apabila mempunyai peluang.

Menarik untuk melihat bagaimana Selangor mahu menggerakkan serangan menerusi Aliff dan Brendan untuk mengatasi bahagian midfield Sabah yang kompak. Adakah overlapping Jordan dan Syahmi atau Namathevan mampu membantu Selangor melepasi bahagian tengah Sabah yang padat dengan 5 pemain tengah.

#5 Selangor dan Sabah Masing-Masing Mempunyai Gandingan CB Yang Padu!

Akhir sekali, mampukah kedua-dua barisan serangan dapat mengatasi gandingan pertahanan tengah yang padu lawan masing-masing pada malam esok?

Sharul Naeem – Foto: Selangor FC

Dua pertahanan tengah Selangor iaitu Sharul Nazeem Zulpakar dan Safuwan Baharudin dilihat semakin serasi bersama. Paling mencuri perhatian adalah Sharul Nazeem atau lebih dikenali sebagai Afro yang tidak gentar bermain sebagai ‘last man’ di dalam sistem Karsten Neitzel. Banyak merampas bola, mencabar bola di udara dan tidak gentar dengan penyerang-penyerang import telah memastikan bahagian pertahanan Selangor beraksi agak baik pada masa ini.

Sementara itu, Sabah pula mempertaruhkan gandingan Risto Mitrevski dan Park Tae-su. Kedua-duanya juga menampilkan kesukaran buat pemain lawan untuk menembusi mereka terutamanya menerusi bola di udara kerana kedua-dua memiliki kelebihan fizikal yang tinggi dan besar.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 131 times, 1 visits today)
Close