Written by 3:42 pm Bola Sepak, Malaysia

Previu Sukanz: 6 Pemain Yang Perlu Diberikan Perhatian Dalam Aksi Kedah vs KL City

Saingan Liga Super 2021 bakal memasuki aksi kesepuluh pada minggu ini. Antara aksi yang menarik bakal disajikan adalah pertemuan antara Kedah Darul Aman FC menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Darul Aman, pada malam ini.

Jika dilihat kepada kedudukan semasa liga dan persembahan dalam 5 perlawanan yang lalu, Kedah dilihat berada dalam keadaan yang lebih baik dimana mereka mencatatkan 3 kemenangan, 1 seri dan 1 kekalahan berbanding KL City yang sekadar merekodkan 1 kemenangan, 2 seri dan 2 kekalahan.

Bagaimanapun, Kedah berada dalam keadaan sedikit tempang apabila terdapat beberapa pemain yang tidak boleh diturunkan ekoran penggantungan dan kecederaan. KL City pula tiada ketempangan sepertimana Kedah dan kemungkinan ini dapat memberikan mereka sedikit peluang untuk mengatasi Kedah.

Untuk perlawanan pada malam ini, berikut adalah 6 pemain yang perlu diberikan perhatian daripada kedua-dua pasukan:

#1 Tchetche Kipre

Penyerang Ivory Coast ini dijangka akan ditugaskan menjadi targetman utama Kedah pada malam ini menggantikan Kpah Sherman. Untuk makluman, Kpah tidak dapat diturunkan menentang KL City kerana perlu menjalani penggantungan kerana telah mengumpul tiga kad kuning. Mampukah Kipre selaku penyerang tunggal merobek gol skuad ibu kota pada malam ini?

#2 Dominique Da Silva

Setelah dua perlawanan tidak diturunkan ekoran kecederaan, Dominique da Sylva berkemungkinan akan diturunkan pada perlawanan malam ini. Sekiranya diturunkan, dia dijangka akan memberi masalah kepada barisan pertahanan Kedah. Penjaring ketiga terbanyak musim lalu ini mempunyai kelebihan daripada segi fizikal, penyudah, kawalan bola, gelecekan dan ‘positioning’. Kedah perlu berhati-hati dan tidak mudah memberikan ruang kepada Dominique kerana KL City mempunyai Paulo Josue yang mampu melakukan hantaran-hantaran bahaya untuk mencari penyerang ini.

#3 Paulo Josue

Kapten dan pemain tengah KL City yang sentiasa menghidupkan permainan, mempunyai visi dan kemampuan melakukan ‘through pass’ yang berbahaya. Pemain tengah bertahan Kedah, Anumanthan Kumar perlu memberi perhatian khusus terhadap kelibat Josue.

#4 Romel Morales

Peranan pemain import berusia 23 tahun ini juga menarik untuk diberikan perhatian dalam perlawanan malam ini. Sekiranya Dominique masih tidak diturunkan, barangkali dia akan kekal sebagai penyerang tengah. Jika sebaliknya, mungkin dia akan berada di bahagian midfield. Morales merupakan pemain yang mempunyai skil, kawalan bola yg menarik dan mampu memberi masalah kepada pasukan lawan.

#5 Rabih Ataya

Persembahan yang terbaik daripada pemain kelahiran Lubnan ini sangat dituntut dalam perlawanan pada malam ini. Rabih sangat diperlukan untuk memain peranan sebagai ‘creative playmaker’. Selain itu, Rabih mampu menyumbang sesuatu kepada Kedah ketika situasi bola mati.

#6 Akram Mahinan 

Pemain tengah, Akram Mahinan sedang berada dalam prestasi terbaik pada musim ini. Prestasi yang ditonjolkannya pada musim ini turut menarik perhatian ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe. Malahan, dia turut dimasukkan dalam senarai awal pemain tempatan yang menerima suntikan vaksin, membolehkannya dipilih oleh Cheng Hoe ke Bahrain untuk aksi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia, jun kelak. Bersama KL City, Akram menjadi ‘enjin’ penting dalam sistem permainan yang diterapkan oleh Bojan Hodak dan telah membantu KL City menduduki tangga ke-6 Liga Super pada masa ini.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

(Visited 95 times, 2 visits today)
Close