Artikel

Pengasas Spotify, Daniel Ek Berminat Untuk Beli Saham Arsenal

Pengasas aplikasi penstriman muzik Spotify iaitu Daniel Ek menyatakan kesediannya untuk membeli pegangan saham Arsenal daripada Kroenke Sports & Entertaiment (KSE).

Ahli perniagaan kelahiran Sweden yang berusia 38 tahun tersebut menyatakan minat tersebut menerusi satu ciapan di akaun Twitter miliknya dua hari yang lalu.

“Ketika masih kanak-kanak, saya masih mengingati memberikan sokongan kepada Arsenal. Sekiranya KSE mahu menjual menjual Arsenal, saya dengan gembiranya mahu membeli.” katanya.

Menurut Forbes, Daniel Ek mempunyai nilai bersih sekitar £3.4 bilion dan perkhidmatan penstriman Spotify yang diasaskan bersama rakan kongsinya, Martin Lorentzon pula bernilai £51.9 bilion.

Pada ketika ini, Daniel Ek merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Spotify.

Untuk makluman, KSE dimiliki oleh Stan Kroenke telah menjadi sebahagian daripada Arsenal sejak tahun 2008 lagi.

Bagaimanapun, para penyokong Arsenal semakin bertambah kecewa dengan kelakuan Kroenke yang ‘kedekut’ untuk membuat pelaburan ke atas kelab terutamanya dalam usaha mendapatkan pemain-pemain yang terbaik.

Difahamkan baru-baru ini, anak kepada Stan Kroenke iaitu Josh Kroenke yang merupakan salah seorang pengarah di Arsenal menegaskan mereka tiada niat untuk menjual pegangannya di dalam kelab berpangkalan di London itu dalam masa terdekat.

komen