Written by 1:20 pm Bola Sepak, Malaysia

Ulasan Sukanz: Kedah Lebih ‘Garang’ Menggunakan Seorang Penyerang?

Aksi kesepuluh Liga Super menyaksikan Kedah Darul Aman berjaya bangkit untuk menumpaskan Kuala Lumpur City (KL City) dengan keputusan 3-2 di Stadium Darul Aman.

Dalam perlawanan tersebut, KL City terlebih dahulu menjaringkan gol pendahuluan menerusi Paulo Josue sebelum skuad Hijau Kuning menyamakan kedudukan menerusi Fayadh Zulkifli.

Tersentak dengan jaringan itu, KL City sekali lagi menembusi gawang Kedah menerusi Giancarlo Gallifuoco untuk meletakkan mereka 2-1 di hadapan. 

Bagaimanapun, penyerang kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre muncul wira Kedah apabila dia menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk mencipta kemenangan 3-2 ke atas KL City sekaligus memungut 3 mata berharga.

 Berikut adalah ulasan perlawanan tersebut:

#1 Gunakan Kipre Atau Kpah Sahaja Untuk Perlawanan Seterusnya?

Menentang KL City pada jumaat lalu, ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Aidil Sharin Sahak terpaksa menurunkan Tchetche Kipre berseorangan sebagai penyerang kerana Kpah Sherman terpaksa menjalani hukuman penggantungan selepas mengumpul 3 kad kuning.

Dalam perlawanan tersebut, Tchetche diberikan peranan selaku ‘target man’ berbanding sebagai ‘backup striker’ atau ‘second striker’ semasa bermain bersama Kpah Sherman sebelum ini. Menariknya, Tchetche bermain dengan sangat baik dalam perlawanan ini. Persembahannya seumpama ketika bersama pasukan Terengganu di bawah bimbingan Irfan Bakti pada musim 2018 lalu.  

Tchetche menunjukkan ‘work rate’ yang tinggi, bersungguh-sungguh untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan melakukan serangan ke arah gawang KL City apabila mendapat bola. Kemuncak persembahannya dalam perlawanan tersebut apabila dia menggunakan kelebihan menggelecek dan kawalan bolanya untuk mencipta ‘assist’ buat Fayadh. 

Dia turut menunjukkan kemampuannya untuk bermain sebagai penyerang tunggal apabila menjaringkan dua gol dalam masa kecederaan untuk memastikan kemenangan penuh dramatik Kedah sekaligus dinobatkan sebagai Man of the Match.

Mungkin selepas daripada ini, Kedah boleh mengekalkan percaturan menggunakan seorang penyerang dalam perlawanan-perlawanan berikutnya.

#2 Empat Pertukaran Yang Memangkin Perubahan Kepada Kedah

Sebenarnya, 70 minit pertama perlawanan ini dikuasai oleh anak-anak buah Bojan Hodak. Mereka bermain dengan sangat baik dalam tempoh ini sedangkan Kedah pula berada masih tercari-cari rentak.

Bagaimanapun, Aidil Sharin mula melakukan pertukaran dengan memasukkan Fayadh Zulkifli (39’), Fadzrul Danel dan Azammuddin Akil (62’). Kemasukan ketiga-tiga pemain ini telah menjadi ‘game changer’ kepada Kedah.

Fayadh banyak menggerakkan bola ke kehadapan. Bahagian tengah pula menjadi stabil dengan kehadiran Fadzrul Danel. Manakala Azammuddin pula memberikan impak dengan menggunakan kelebihan individu dan pengalamannya.

Situasi ini melihatkan Kedah bermain dengan laju secara tiba-tiba bermula minit ke-70 serta melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang KL City. Mereka juga bermain dengan lebih lancar dan berintensiti tinggi.

#3 Kepulangan Rizal Ghazali Buatkan Bahagian Kanan Lebih ‘Berbisa’

Perlawanan ini turut menyaksikan kembalinya ‘kereta kebal’ mereka iaitu Rizal Ghazali di bahagian bek kanan. Kembalinya Rizal menjadikan bahagian kanan Kedah lebih ‘solid’ ketika bertahan dan lebih dominan ketika melakukan serangan menerusi overlapping-nya. 

Kehadiran Rizal juga membuatkan KL City sukar untuk menyerang bahagian kanan Kedah. Ini dapat dilihat apabila pertahanan kiri KL City, Daniel Ting cuba untuk melakukan overlapping di bahagiannya namun gagal menewaskan Rizal. Disebabkan itu, KL City melakukan serangan menerusi bahagian kanan mereka kerana lebih muda untuk menewaskan bek kanan Kedah, Ariff Farhan. 

#4 KL City Sewajarnya Menang

Beralih kepada skuad kendalian Bojan Hodak, mereka sewajarnya muncul sebagai pemenang dalam perlawanan ini. Mereka bermain dengan baik selama 70 minit pertama. 

Foto: KL City

Bahagian tengah dan pertahanan mereka bermain dengan sangat baik dalam tempoh ini. Bahagian tengah mereka diketuai oleh Paulo Josue banyak merencanakan serangan namun gagal disudahkan oleh penyerang mereka, Romel Morales. 

Inilah salah satu kekurangan KL City dalam perlawanan ini apabila Romel yang sebenarnya pemain tengah terpaksa bermain sebagai penyerang. Dia tidak dapat menampung kehilangan Dominique da Sylva.   

Sementara itu, aksi penjaga gol, Kevin Ray Mendoza juga cemerlang dengan menafikan banyak peluang yang dilakukan oleh Kedah. Jika tidak disebabkan oleh persembahan penjaga gol ini kemungkinan Kedah akan berpesta gol. Di barisan pertahanan, kelibat Irfan Zakaria juga boleh dipuji.

#5 Percaturan Bertahan Bojan Tidak Menjadi

Percaturan Bojan untuk bermain secara bertahan apabila seudah mendahului tidak menjadi. Kami berpendapat pemain-pemain yang dibawa masuk oleh Bojan tidak bersedia, tidak fokus dan lalai sekaligus membuatkan Kedah mengambil kesempatan dan menjaringkan gol. 

Sebagai contoh, ianya berlaku dalam situasi gol ketiga Kedah. Ketika Fayadh melakukan hantaran jauh mencari Renan di dalam kotak penalti, pertahanan KL City yang berdekatan dengannya langsung tidak melakukan ‘challenge’ kepada Renan.

Ia membolehkan Renan melakukan ‘set up’ kepada Tchetche Kipre sekaligus membolehkan dia menjaringkan gol kemenangan pada hujung-hujung minit permainan.

p/s: Ulasan ini dikongsikan oleh peminat tegar bola sepak tempatan, Wafiy Amran. Sekiranya anda suka ulasannya, anda boleh mendengar ulasan untuk perlawanan Liga Super yang lain di saluran Youtube, WAFIY AMRAN.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 1,099 times, 1 visits today)
Close