Written by 11:24 am Bola Sepak, Malaysia

Honda Boleh Tarik ‘Sponsor’ Dari Jepun? Siapa Yang Akan Terkorban?

Arena bola sepak tempatan riuh-rendah apabila sebuah media Jepun melaporkan bekas pemain skuad Samurai Biru, Keisuke Honda ditawarkan untuk menyertai pasukan yang bersaing dalam kancah Liga Super iaitu Selangor FC.

Gosip pemain yang bakal menjengah usia 35 tahun itu sejuk seketika apabila sebuah portal bola sepak Vocket FC menyatakan seorang wakil Selangor yang tidak dinamakan menafikan berita kehadiran pemain tersebut ke skuad Merah Kuning, dua hari lalu. 

Namun ianya kembali bertiup kencang apabila bekas pemain dan penolong pengurus pasukan, Nazzab Hidzan tidak menafikan perkara berkenaan dalam rancangan [email protected], pada malamnya.

Siapakah Yang Bakal Menjadi Korban Untuk Memberi Laluan Kepada Honda?

Antara barisan pemain import Selangor musim 2021 – Foto: Selangor FC

Pertama sekali, Selangor sudah mempunyai lima pemain import di skuad utamanya iaitu Oliver Buff, Manuel Konrad, Jordan Ayimbila, Ifedayo Olusegun (kuota asia) dan Safuwan Baharudin (kuota asean). 

Sementara itu, perlu diingatkan pasukan simpanan, Selangor 2 hanya mendaftarkan 3 daripada 4 maksimum pemain import iaitu George Attram, Tim Heubach dan Hein Htet Aung pada musim ini.

Justeru Selangor masih mempunyai ruang untuk menandatangani Honda menerusi Selangor 2 tanpa perlu mengorbankan mana-mana pemain import sedia ada kerana mempunyai satu lagi kekosongan slot pemain import.

Tambahan pula, kehadiran Honda juga tidak ‘mengacau’ peraturan pemain import iaitu 3 bebas + 1 asia untuk saingan Liga Premier.

Gaya Permainan Keisuke Honda

Foto: AC Milan

Honda merupakan  seorang pemain berkaki kiri, mempunyai gelecekan yang baik, boleh melakukan hantaran mencari rakan sepasukan ke dalam kotak penalti, melakukan rembatan jarak jauh serta merupakan pakar dalam situasi bola mati.

Selain itu, statistik jaringan gol dan bantuan golnya juga agak baik. Menurut laman transfermarkt, sejak bergelar pemain professional pada tahun 2004, Honda telah menjaringkan 102 gol dan mencipta 82 bantuan gol di peringkat kelab.

Posisi Mana Yang Boleh Diisi Oleh Honda?

Antara kelompongan Selangor pada ketika ini adalah ketiadaan pemain asli (pure) No.10. Walaupun pemain import kelahiran Switzerland, Oliver Buff dilihat bermain di situ tetapi perlu diingatkan dia merupakan seorang pemain tengah (centre midfielder).

Keduanya, Karsten yang gemar menerapkan formasi 4-4-2 berlian (diamond) pula sering menurunkan 4 pemain tengah dan dua orang penyerang dalam kesebelasan utamanya. Tiada pemain sayap yang bermula dalam kesebelasannya melainkan dimasukkan sebagai pemain gantian. 

Ketua juurulatih Selangor, Karsten Neitzel – Foto: Selangor FC

Situasi ini menyebabkan Brendan Gan atau Aliff Haiqal terpaksa ditugaskan melakukan hantaran lintang untuk mencari Ifedayo di dalam kotak penalti yang kadang-kalanya dilihat tidak begitu efektif.

Kehadiran Honda boleh menyelesaikan dua perkara ini. Pertamanya Honda boleh bermain sebagai pemain tengah menyerang (attacking midfielder) atau No.10 di dalam sistem Karsten. Keduanya, Honda boleh bermain di posisi pemain tengah kanan (right midfielder) atau pemain tengah kiri (left midfielder) yang boleh menghantar bola ke dalam kotak penalti dengan lebih baik.

Apa yang menjadi keraguan adalah tahap kecergasan Honda yang bakal menjengah usia 35 tahun jun nanti. Mampukah dia beraksi dengan baik dalam saingan Liga Super pada usia sebegitu? 

Siapa Perlu Diturunkan Ke Selangor 2?

Bagaimanapun, untuk menaikkannya ke skuad utama, Honda boleh ditukarkan dengan kesemua pemain import kecuali Safwan Baharudin (kuota asean) kerana Honda yang berwarganegara Jepun hanya boleh mengisi kuota pemain bebas atau asia sahaja.

Pemain import Selangor 2, Jordan Ayimbila menunjukkan prestasi cemerlang apabila beraksi bersama skuad utama.

Jika dilihat kepada prestasi semasa pemain import di skuad utama Selangor, boleh dikatakan semuanya sedang berada di prestasi terbaik kecuali Manuel Konrad yang masih menyesuaikan diri sejak diberikan debut pada awal april lalu.

Besar kemungkinan, Konrad yang akan diturunkan pangkat ke skuad Selangor 2 bagi memberikan ruang kepada Honda untuk bermain bersama skuad utama Selangor. Dan tempat Konrad boleh digantikan dengan pemain tempatan yang lain.

Honda Boleh Digunakan Untuk Tarik Duit Tajaan Dari Jepun

Selain daripada menggunakan khidmatnya untuk bermain  dan berkongsi pengalaman kayanya kepada pemain-pemain tempatan khususnya pemain muda, Selangor mampu memperoleh satu lagi manfaat yang besar.

Perlu diketahui, Honda merupakan seorang pemain yang sangat tersohor di Jepun. Barangkali Selangor melakukan tawaran untuk mendatangkan Honda sebagai serampang dua mata. Kemasyhuran Honda boleh digunakan untuk menarik tajaan besar dari negara matahari terbit atau syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia. Namanya sendiri sudah menyamai syarikat pembuat kereta dan motosikal yang cukup diminati sebagian besar rakyat di negara ini iaitu Honda. 

Adakah berbaloi Selangor mengikat Honda? Apa pendapat anda?

Featured Image: AC Milan

(Visited 277 times, 1 visits today)
Close